Boeing: Malaysia Aviation tempah sehingga 60 pesawat Boeing 737 MAX
Bernama
21/03/2025

Boeing pada Jumaat mengumumkan bahawa Malaysia Aviation Group telah membuat tempahan sehingga 60 pesawat Boeing 737 MAX. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Boeing pada Jumaat mengumumkan bahawa Malaysia Aviation Group telah membuat tempahan sehingga 60 pesawat Boeing 737 MAX, lapor agensi berita Jerman dpa.
Tempahan itu merangkumi 18 jet 737-8 dan 12 jet 737-10, dengan pilihan untuk tambahan 30 pesawat lagi bagi memperbaharui armada pesawat lorong tunggal Malaysia Airlines.
Penambahan pesawat baharu itu akan membantu syarikat penerbangan berkenaan memperkenalkan tempat duduk baring mendatar serta memenuhi permintaan perjalanan di Asia Tenggara, pasaran penerbangan komersial yang berkembang pesat. Armada pesawat di rantau ini dijangka meningkat hampir 250 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang.
"Dengan lebih 50 jet 737 dalam armada Malaysia Airlines, pengenalan tambahan 737-8 dan 737-10 menawarkan keseragaman operasi serta kecekapan ekonomi terbaik bagi setiap tempat duduk dalam kelasnya, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sebanyak 20 peratus," menurut Boeing dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA