Translate

21 March 2025

BKK Aidilfitri kepada penjawat awam, pesara: Cuepacs zahir penghargaan kepada PM



BKK Aidilfitri kepada penjawat awam, pesara: Cuepacs zahir penghargaan kepada PM

Bernama

21/03/2025


Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata penyaluran bantuan itu membuktikan bahawa kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan yang terus berkhidmat dengan dedikasi dan integriti. - BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata penyaluran bantuan itu membuktikan bahawa kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan yang terus berkhidmat dengan dedikasi dan integriti.

"Ia juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

"Cuepacs percaya bahawa insentif ini bukan sahaja akan meringankan beban kos persiapan Aidilfitri malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Cuepacs terharu dengan keprihatinan dan kepekaan Perdana Menteri terhadap kebajikan penjawat awam serta pesara yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Adnan berkata walaupun penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan tahun lepas dan pemberian BKK Persekolahan pada Februari lepas namun tradisi pemberian bantuan itu setiap kali menjelang Aidilfitri kekal sebagai satu inisiatif yang amat dihargai serta dinantikan bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga terpelihara menjelang perayaan.

Beliau turut menyeru agar penjawat awam bijak menguruskan bantuan kewangan yang diterima dan menggunakan ia dengan sebaiknya.

"Di samping itu, Cuepacs menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Perdana Menteri hari ini berkata kerajaan bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada semua pesara kerajaan, yang akan dibayar pada Isnin.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Bekasi viewed ''Dog in washing machine' video leads to arrest of ' 5 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Influenza ancaman senyap d****a dan kanak-kanak, t' 9 mins ago
A visitor from Ipoh viewed 'Mariah Carey wins copyright lawsuit over 'All I Wa' 10 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 13 mins ago
A visitor from Midland viewed 'Female pitch invader interrupts Champions League f' 15 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Influenza ancaman senyap d****a dan kanak-kanak, t' 18 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Datuk rayu sumbangan untuk bantu rawatan cucu hida' 23 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Mangsa banjir Johor akan terima bantuan khas RM3,0' 28 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Kanak-kanak maut, enam cedera kereta bertembung di' 33 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Ramanan sampaikan sumbangan RM190,000 kepada 16 ma' 36 mins ago