Hanya dua orang saja bergaduh, tidak ada gangster Tapah
Info Roadblock JPJ/POLIS
16/4/2021
Ipoh: Polis menafikan pembabitan kongsi gelap serta unsur pemerasan dalam pergaduhan di sebuah restoran di kawasan kelab malam di Jalan Lau Ek Ching, Kampung Jawa, di sini, seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada provokasi dan perselisihan faham antara pemilik restoran dengan pelanggan berhubung pembelian minuman.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati hanya dua individu saja terbabit dalam pergaduhan itu manakala selebihnya seperti yang sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) adalah pengunjung lain yang cuba menenangkan keadaan.
"Dakwaan menyatakan terdapat pembabitan gangster dari Tapah dan wujud pemerasan adalah tidak benar sama sekali. Tangkapan hanya dilakukan terhadap dua suspek berusia 19 dan 24 tahun yang dikenal pasti melalui CCTV.
"Laporan mengenai kejadian itu diterima pada 13 April lalu iaitu sejurus kejadian berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh). Dua suspek direman selama tiga hari bermula semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakaman CCTV mengenai pergaduhan itu tular di laman sosial mendakwa berlaku kejadian peras ugut dan pukul pemilik kelab malam membabitkan 15 individu yang didakwa sebagai gangster dari Tapah.
Keterangan video itu antara lain mendakwa 15 individu terbabit menyerbu masuk ke premis berkenaan selain kejadian itu sangat membimbangkan peniaga berhampiran.
A Asmadi berkata, pihaknya amat mengalukan sebarang maklumat dan pertanyaan yang boleh disalurkan kepada polis melalui talian DCC (Pusat Kawalan Daerah) Ipoh di talian 05-2542222 dan emel kpdipoh@rmp.gov.my.
Source: Harian Metro