Translate

13 October 2020

Selangor Tangguh Solat Berjemaah, Aktiviti Mengimarahkan Masjid Dan Surau


PKPB: Selangor tangguh solat berjemaah, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau
BERNAMA
13/10/2020 08:47 PM


SHAH ALAM, 13 Okt -- Solat Jumaat, solat fardhu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor, ditangguhkan bermula dari waktu Subuh esok sehingga 27 Okt, bagi mengekang penularan COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari, di negeri berkenaan.

Beliau berkata penangguhan solat berjemaah dan aktiviti mengimarahkan masjid serta surau itu melibatkan 425 buah masjid, 278 buah Surau Kebenaran Solat Jumaat, dan 1,747 buah surau.

“Pentadbir masjid dan surau di Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh penangguhan ini, sebaliknya jemaah menggantikannya dengan solat zohor di rumah masing-masing.

“Solat fardhu berjemaah pula hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi tiga orang sahaja, manakala azan dikumandangkan seperti biasa setiap waktu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau yang ditangguhkan sementara itu meliputi kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha, serta program agama yang lain.

Katanya langkah berkenaan dibuat selari dengan hasrat JAIS untuk memastikan pentadbir masjid dan surau dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan serta pelindungan terhadap ahli kariah masing-masing daripada menerima sebarang kesan penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu katanya, JAIS turut menangguhkan pelaksanaan majlis akad nikah di masjid dan surau di Selangor, sepanjang penguatkuasaan PKPB.

Mohd Shahzihan bagaimanapun berkata pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal tidak melebihi tiga orang di Pejabat Agama Islam Daerah hanya akan dilakukan setelah mendapat kelulusan khas JAIS.


-- BERNAMA



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED