Translate

13 August 2020

Warganegara asing perlu membayar caj kuarantin dan fi ujian pengesanan COVID-19 sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia

BERNAMA


13/08/2020 03:36 PM


KUALA LUMPUR, 13 Ogos -- Warganegara asing yang dibenarkan memasuki Malaysia perlu membayar caj kuarantin dan fi ujian pengesanan COVID-19 terlebih dahulu sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana terdapat warganegara asing yang dibenarkan masuk ke negara ini enggan membayar kos tersebut setelah dihantar ke hotel atau Institut Latihan Awam (ILA), tempat untuk mereka dikuarantin wajib.

"Mana-mana warganegara asing yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan ‘Not-To-Land’ (NTL) (Tidak Dibenarkan Mendarat) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 10,173 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 59 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 44 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 2,332 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau berkata pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama anggota polis juga telah membuat 1,367 pemeriksaan mengejut semalam terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib di rumah dan dua daripadanya diambil tindakan.


Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 270 individu yang ingkar kuarantin rumah telah diambil tindakan oleh pihak polis.

Katanya ini termasuk tindakan tegas terhadap individu kes indeks dalam kluster Sivagangga.

Pagi tadi, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu itu dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar.


Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan supaya rakyat Malaysia terus mematuhi standard operasi prosedur termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera untuk memudahkan mereka yang berisiko tinggi dikesan.

“Bukan saya nak membebel, setiap kali saya akan ingatkan, tapi ini untuk kepentingan kita. Kejadian yang berlaku di Kedah, Perlis (Sivagangga) pun kita tak duga. Kita dah satu digit, dah sifar kes tempatan, tetapi dengan ketidakpatuhan kita, kes boleh tinggi semula,” katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED