Translate

21 August 2020

Tiada perarakan Hari Kebangsaan tahun ini









21/08/2020 11:08 AM



KUALA LUMPUR, 21 Ogos-- Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyeru rakyat di negara ini agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan secara kreatif dan berkongsi gambar atau video menerusi media sosial.

“Kita galakkan rakyat ambil gambar dan video dan kongsikan kreativiti mereka untuk mengekspresikan Hari Kebangsaan. Oleh kerana tiada acara seperti biasa, tidak bermakna kita tidak boleh menghidupkan semangat sambutan negara secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen televisyen TV3.



Menurut Saifuddin, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga adalah serentak dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lepas.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept yang akan berlangsung di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.


"Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada tarikh 31 Ogos, maka kita ambil bersempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata tema 'Malaysia Prihatin’ yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini melambangkan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum dan bersatu padu, manakala 'prihatin’ merujuk kepada aspek kebersamaan rakyat Malaysia terutamanya dalam berdepan suasana kebiasaan baharu.

“Untuk menjadi patriotik dan prihatin tidak perlu buat perkara besar-besar. Bantu bagi pelitup muka kepada teman, mengingatkan satu sama lain tentang penjarakan fizikal, kutip sampah tepi jalan, itu semua aksi-aksi prihatin. Tidak perlu jadi menteri untuk jadi patriotik,” katanya.


Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berharap setiap stesen televisyen berusaha menghidupkan suasana sambutan itu bagi memastikan hari berkenaan diraikan bersama.

“Selalu kita tengok selain perarakan tentera akan ada juga aset-aset yang dibawa ke Dataran Merdeka tetapi kali ini takkan nak dibawa aset-aset itu ke studio … semuanya bergantung pada kreativiti stesen-stesen televisyen,” katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED