KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Seorang daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau ‘terkejut’ dengan kenyataan rakan kongsi Tetuan Lewis & Co, B. Muralidharan bahawa firma guaman tersebut merupakan pemegang amanah yayasan itu.
Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, berkata kenyataan yang dikeluarkan Muralidharan semasa memberi keterangan di mahkamah yang dibacanya di media sosial adalah tidak benar.
"Kami (Yayasan Al-Falah) tidak pernah melantik Lewis & Co atau Muralidharan sebagai peguam atau pemegang amanah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari ke- 37 perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu yang berdepan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.
Saksi pendakwaan ke-66 itu hari ini dipanggil semula untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu berikutan pindaan dibuat terhadap 14 pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid.
Pada 10 Ogos lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Faisalludin yang juga seorang peguam berkata adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee dilantik sebagai pengerusi yayasan dan ahli lembaga pemegang amanah manakala beliau dan Mohd Farid Abdullah juga ahli lembaga pemegang amanah.
Ditanya Ahmad Zaidi, adakah mana-mana ahli lembaga pemegang amanah melantik Muralidharan daripada Lewis & Co sebagai pemegang amanah yayasan itu pada bila-bila masa, Faisalludin menjawab "tidak pernah".
Ahmad Zaidi: Adakah Muralidharan dan Lewis & Co pernah menguruskan Yayasan Al-Falah.
Faisalludin: Tidak pernah, saya pertama kali jumpa Muralidharan di bilik saksi mahkamah tadi.
Saksi itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa beliau dan dua ahli lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk mengeluarkan sebarang cek untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap pelanggan Lewis & Co.
Ahmad Zaidi: Pernah tak Encik Faisalluddin atau dua ahli lembaga pemegang amanah lain memberi apa-apa arahan kepada Muralidharan untuk mengeluarkan cek bagi kepada individu, syarikat, bank dan sebagainya.
Faisalludin: Tidak pernah.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt adakah setiap sumbangan yang diterima Yayasan Al-Falah perlu mendapat kelulusan ahli lembaga pemegang amanah, saksi itu menjawab, “ya”.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
-- BERNAMA