Translate

15 August 2020

Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) nafi anggotanya positif COVID-19


Polis SPU nafi anggotanya positif COVID-19

BERNAMA 

15/08/2020 08:41 PM

KEPALA BATAS, 15 Ogos -- Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini menafikan satu maklumat yang tular di media sosial sejak semalam, kononnya seorang anggotanya telah dijangkiti COVID-19.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata ujian awal dan kedua ke atas anggota berpangkat Koperal itu dan ahli keluarganya mendapati, mereka negatif jangkitan COVID-19, malah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan surat pelepasan dari menjalani kuarantin di rumah kepada anggota polis berkenaan.

"Anggota polis berusia 39 tahun itu dan keluarganya telah menjalani ujian COVID-19 yang pertama pada awal bulan ini kerana mereka pulang ke kampung halaman yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Kedah.

"Bagaimanapun, keputusannya negatif sebelum mereka dikuarantin di rumah dan ujian kali kedua juga menunjukkan keluarga itu negatif malah keadaan kesihatan juga dalam keadaan baik. Anggota polis itu juga telah memulakan tugas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan berita palsu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat kerana bimbang penularan wabak COVID-19, dan polis kini giat mengesan individu yang menyebarkan maklumat palsu itu.

Sementara itu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil beberapa inisiatif dan melaksanakan pelbagai tindakan serta merta bermula hari ini berikutan terdapat satu kes positif COVID-19 di kawasan Teluk Kumbar, dekat sini semalam.


Menurutnya pelbagai tindakan diambil di kawasan antara Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Jalan Teluk Kumbar dan simpang lampu isyarat Puspakom, Kampung Tengah serta sekitar Gertak Sanggul, termasuk menghentikan sementara aktiviti pasar malam di Bandar Teluk Kumbar pada hari Selasa dan Sungai Batu pada hari Khamis.

“… namun pasar pagi di Taman Sahabat dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. MBPP akan menutup (pasar pagi) jika tidak mengikut SOP. Aktiviti kedai gunting rambut, salon kecantikan dan gerai, penjaja serta restoran juga akan ditingkatkan pemantauan SOP, malah pelanggan juga tidak dibenarkan makan di premis menjual makanan dan minuman. Tindakan menutup perniagaan akan dibuat jika ingkar SOP," menurut kenyataan itu.

Selain itu MBPP juga menutup taman permainan dan kejiranan di Taman Poket Teluk Kumbar dan Tanah Lapang Pasar Belanda.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED