Kenyataan Akhbar KPK 3 Ogos 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat empat (4) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,668 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 3 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat dua (2) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,001 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 208 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan bahawa kedua-dua kes baharu yang dilaporkan adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia. Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini. Perincian kes penularan di dalam negara COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kedah: satu (1) kes daripada Kluster PUI Sivagangga;
- Wilayah Persekutuan Labuan: satu (1) kes saringan rawak di lapangan berkaitan pelajar Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Labuan.
Sehingga kini, terdapat satu (1) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
SITUASI TERKINI KLUSTER PUI SIVAGANGGA
Sehingga 3 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 425 orang telah disaring. Daripada jumlah ini:
- 21 kes dikesan positif COVID-19;
- 362 negatif; dan
- 42 kes masih menunggu keputusan.
Seperti yang diketahui umum, Kluster PUI Sivagangga ini merupakan sebuah kluster penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import (iaitu kes indeks bagi kluster ini). Selain Kluster PUI Sivagangga, terdapat juga kluster-kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) yang dilaksanakan dari 10 Jun hingga 23 Julai 2020. Kluster-kluster tersebut adalah:
- Kluster Elsa
- Kluster PUI Novgorod
- Kluster PUI Pitakwa
- Kluster PUI Melbourne
- Kluster PUI Ramnad
- Kluster PUI Al Khobar
- Kluster PUI Shirala
Kes indeks Kluster PUI Sivagangga merupakan seorang pemilik kedai makan yang telah pulang ke Malaysia dari India dan diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (Home Surveillance Order – HSO). Namun demikian, beliau didapati tidak mematuhi syarat-syarat perintah tersebut.
Ketidakpatuhan ini telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 yang meluas dalam kluster ini. Penularan ini telah dikenalpasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (Active Case Detection) yang dijalankan oleh Kerajaan. Namun begitu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri turut menghadapi beberapa cabaran dalam menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat. Ini kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera mahupun merekod kehadiran serta suhu badan pelanggan-pelanggan di kedai makan ini.
Pada hari ini, satu (1) kes baharu telah dilaporkan dalam kluster ini (iaitu kes ke-9000), di mana beliau merupakan seorang pelanggan tetap kedai makan tersebut. Beliau telah menjalani saringan COVID-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai 2020 dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif. Pada 31 Julai 2020, beliau mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera. Hanya satu (1) hari kemudiannya, iaitu selepas penglibatan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes telah memaklumkan bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif COVID-19. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.
Mengambil iktibar daripada kes ini, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa. Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu wujud dalam diri setiap individu agar kita dapat sama-sama membendung penularan jangkitan COVID-19.
KKM juga menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya. Seperti yang telah diumumkan YB Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dalam sidang media beliau sebentar tadi, Kerajaan telah mewajibkan penggunaan aplikasi ini di semua premis bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif COVID-19.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihatkan masyarakat agar terus waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat ini sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian misalnya:
- Elakkan 3S / 3C :iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W :iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
- S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
3 Ogos 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 3 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
PERLIS | 0 | 19 |
KEDAH | 1 | 122 |
PULAU PINANG | 0 | 121 |
PERAK | 0 | 264 |
SELANGOR | 0 | 2,130 |
NEGERI SEMBILAN | 0 | 1,029 |
MELAKA | 0 | 258 |
JOHOR | 0 | 742 |
PAHANG | 0 | 370 |
TERENGGANU | 0 | 114 |
KELANTAN | 0 | 160 |
SABAH | 0 | 400 |
SARAWAK | 0 | 678 |
W.P. KUALA LUMPUR | 0 | 2,476 |
W.P. PUTRAJAYA | 0 | 98 |
W.P. LABUAN | 1 | 20 |
JUMLAH KESELURUHAN | 2 | 9,001 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import