Konsert Solo Faizal Tahir Terpaksa Ditangguh Kerana Pelbagai Kekangan
Tarikh terbaru selepas Hari Raya.
0 COMMENTS
BY ALEXANDER HADREEZ JR
8 HOURS AGO
SHARE:
Perlu persediaan sekurang-kurangnya enam bulan. (Pic: Instagram @faizal_tahir)
Hasrat penyanyi Faizal Tahir untuk menganjurkan konsert solo besar-besaran tahun lalu tidak kesampaian apabila ia terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan masa dan terikat dengan komitmen kerja.
Menurut Faizal, sepatutnya konsert itu diadakan pada Disember lalu namun atas masalah yang disebutkan, konsert itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
PIC: INSTAGRAM @FAIZAL_TAHIR
Komitmen dengan pelbagai perkara.
“Sejujurnya, memang saya sendiri yang mahu penganjuran konsert ini ditangguhkan. Ketika ini saya sedang sibuk menghasilkan album terbaru, terbitkan album penyanyi di bawah label saya, komitmen dengan program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) serta kerjasama dengan Kementerian Pendidikan program jelajah Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara untuk memberikan ceramah motivasi.
PIC: INSTAGRAM @FAIZAL_TAHIR
Mahu nyanyi lagu dari album baharu di konsert.
“Untuk menganjurkan konsert, tak boleh buat tergesa-gesa dan memerlukan masa. Memandangkan saya ketika ini sedang menyiapkan album baharu, sayang rasanya jika lagu itu tidak dinyanyikan dalam konsert. Justeru biarlah konsert itu berlangsung selepas album itu dihasilkan,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Ditanya apakah penangguhan konsert itu ada kaitan dengan kebimbangan tiket tidak dijual seperti yang banyak berlaku dalam konsert tempatan ketika ini, Faizal tidak menolak perkara itu.
PIC: INSTAGRAM @FAIZAL_TAHIR
InsyaAllah, konsert selepas Hari Raya.
“Untuk menganjurkan konsert perlukan persiapan rapi. Perancangan dan juga promosi kena dibuat lebih awal. Tiga bulan tak cukup panjang untuk tempoh promosi kerana sekurang-kurangnya memerlukan tempoh enam bulan termasuk dari segi pemasaran.
“Faktor lain juga disebabkan penaja yang bermain tarik tali dan belum ada sebarang pengesahan. Apapun, Insyaallah konsert itu nanti akan berlangsung selepas raya kerana saya difahamkan terlalu ramai yang mahu membuat konsert sebelum puasa. Tak naklah bersaing,” tegasnya.
Kata Faizal lagi, bukan saja persiapan untuk konsert tetapi juga dia memerlukan masa untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan stamina.
PIC: INSTAGRAM @FAIZAL_TAHIR
Perlukan masa untuk bersenam.<
“Paling utama, kalau nak buat konsert saya kena mantapkan stamina. Sejujurnya, sekarang ini kalau saya kena nyanyi lima buah lagu, memang terasa letih. Disebabkan itu saya perlukan masa untuk bersenam dan mantapkan stamina serta latihan vokal,” luahnya.
Mengulas lanjut pembikinan album solonya itu, penyanyi berusia 40 tahun ini berkata ada baki sekitar 20 peratus lagi sebelum dilancarkan April nanti. Berbeza dengan hasil kerjanya sebelum ini, menurut bekas peserta program realiti One In A Million musim pertama ini, konsep lagunya lebih bervariasi.
PIC: INSTAGRAM @FAIZAL_TAHIR
Album baru berkonsepkan playlist.
“Mungkin orang akan kata album ini syok sendiri tapi saya tak kisah. Cara orang dengar lagu sekarang sudah berbeza, lebih-lebih lagi selepas era digital mengambil alih. Untuk lagu-lagu dalam album ini, ia lebih kepada konsep playlist iaitu setiap lagunya berbeza.
“Jika sebelum ini lagu pertama dan seterusnya seperti ada kesinambungan, kali ini memang lain. Saya harap peminat boleh menerimanya. Selain itu saya juga akan berkolaborasi dengan dua penyanyi lain. Setakat ini kata persetujuan sudah pun diberi cuma materialnya saja belum ada,” ujarnya.
http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/4334/konsert-solo-faizal-tahir-terpaksa-ditangguh-kerana-pelbagai-kekangan