Translate

17 January 2018

Identiti Sebenar Nur Sajat Akan Disahkan "Dalam Masa Terdekat"


Selepas sekian lama berteka-teki mengenai jantina sebenar Datuk Nur Sajat Kamaruzzaman, akhirnya identiti sebenar ahli perniagaan kosmetik itu bakal "diketahui" tidak lama lagi.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya telah menemui jalan penyelesaian bagi merungkai persoalan mengenai identiti Nur Sajat selepas melakukan pertemuan bagi ‘mengenali lebih dekat’ selebriti popular itu, petang semalam.
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof menerusi catatan di laman Facebook berharap semoga penyelesaian tersebut berjalan lancar “dalam masa terdekat”.
“Lawatan ziarah mewakili Jakim untuk cari penyelesaian kepada isu semalam (Isnin).
“Alhamdulillah. Kami telah menemui jalan penyelesaian. InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar dalam masa terdekat,” demikian katanya, pada Selasa.
Kontroversi mengenai identiti Nur Sajat kembali hangat susulan tindakan seorang penulis blog, Papagomo menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi menggesa pihak Jakim mengambil tindakan terhadap usahawan itu.
Menurut Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, tingkahlaku Nur Sajat yang disifatkan sebagai “maknyah” dan bukannya wanita tulen boleh memberi pengaruh buruk kepada masyarakat.
Susulan itu, Jakim secara terbuka menyuarakan hajat untuk bertemu dengan Nur Sajat bagi “mengenali beliau secara lebih dekat”, yang mana pertemuan tersebut berlangsung di Wisma Nur Sajat, pada petang Selasa (semalam).
Sejurus pertemuan tersebut berakhir, Nur Sajat menerusi entri di laman Instagram memberi gambaran bahawa “sesuatu yang positif” diperolehi melalui perjumpaan bersama Jakim.
“Alhamdulillah. Selesai terima ziarah daripada wakil Jakim. Ada penyelesaiannya. InsyaAllah... doakan yang terbaik,” tulisnya, sambil memuat naik gambar memaparkan kedua ibu bapa beliau turut serta dalam pertemuan tersebut.

Mengulas mengenai “jalan penyelesaian” yang dimaksudkan, Mohd Izwan bagaimanapun enggan menjelaskan secara lanjut mengenai kaedah yang bakal digunapakai bagi menangani isu itu.
Namun, Mohd Izwan memberitahu mStar bahawa ia melibatkan pengesahan identiti sebenar Nur Sajat.
"Jalan penyelesaian ini bagi mendapatkan pengesahan identiti sebenar Nur Sajat," katanya.
Pada pertemuan tersebut juga Mohd Izwan berkata Jakim masih “belum” mendapat pengesahan (identiti) daripada Nur Sajat, namun sebarang urusan pengesahan akan dibuat melalui perbincangan secara dalaman.
"Ia adalah perbincangan dalaman, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya, dilapor portal berita itu lagi.
- mD
 http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/718478-identiti-sebenar-nur-sajat-akan-disahkan-dalam-masa-terdekat.html

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED