Nasib seorang biduan, sakit pun kena nyanyi ! Implikasi apa dicuit di akhbar Harian Metro minggu lalu,
Datuk Dahlan Zainuddin tampil bagi menjernihkan situasi.
ARTIKEL YANG TAK BERASAS DARIPADA HARIAN METRO MINGGU LALU
Nasib seorang biduan, sakit pun kena nyanyi
“Dari sebuah desa,
Berbekal gitar tua,
Datang ke ibukota,
Dengan penuh harapan,
Menjadi seorang biduan,
Oh biduan pujaan,
Pujaan tua muda,
Kau ditaburi cahya,
Dan sinar kekaguman,
Dan riuhnya tepukan,
Meskipun kau tersenyum,
Namun orang pun tahu,
Apa isi hati mu,
Tatkala kau lagukan,
Lagu mu lagu sedih,
Perjalanan hidup mu,
Ditinggal kekasih mu.”
Mendengar lagu Kisah Seorang Biduan automatik mengingatkan kita pada Datuk Dahlan Zainuddin. Lagu ‘berhantu’ itu begitu popular pertengahan era 70-an meletakkan status Dahlan pada kelas tertinggi di arena seni sebagai ‘superstar’. Jika di arena bola sepak ada ‘SuperMokh’ (Datuk Mokhtar Dahari), di persada seni suara satu-satunya superstar adalah Dahlan Zainuddin.
Tiada jolokan superstar pernah diberi pada mana-mana penyanyi sebelum itu. Jolokan superstar dilabel pada Dahlan itu mempunyai magnet komersial hinggakan Deddy M Borhan selaku tauke Sabah Film Production mencelah menerbitkan filem bersandarkan populariti lagu nyanyian Dahlan sendiri, Kisah Seorang Biduan. Filem muzikal arahan M Amin pada 1979 itu adalah penampilan sulung Dahlan sebagai hero, bergandingan dengan pelakon lain Bob Mustafa, Gaya Zakri, Yusuf Latiff, Rosnah Abdul Rahman, Jeffrydin (Datuk), Ahmad Mahmud, Dian P Ramlee dan Quinary M. Program televisyen, ketika itu hanya RTM jika tiada kelibat Dahlan bagaikan tidak ‘bercandu’ program hiburan itu terutama Hiburan Minggu Ini. Berbanding artis lain ketika itu sama ada penyanyi dan pelakon majoriti ‘cari makan’ di bidang seni, berbeza dengan Dahlan, beliau mempunyai pekerjaan tetap selaku eksekutif di syarikat akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Cuma ketika penulis menyertai syarikat ini pada 1991, Dahlan sudah pun keluar. Namun kami sempat menjadi juri pertandingan menyanyi di syarikat ini pada pertengahan 2005 dulu. Lain dulu, lain sekarang, Dahlan yang kita maklum kini meniti hari dengan ujian Ilahi sejak dikesan terkena strok di Perlis ketika meraikan anak-anak yatim pada Ramadan tahun lalu.
Kudratnya sudah tidak segagah dulu, namun melalui komen di media kita lihat jiwanya tetap membara. Hari ini sihat, esok lusa uzur, begitulah fitrah kita sebagai insan. Bagi kelompok artis hari ini glamor, esok lusa sekadar mencongak memori itu biasa. Pelbagai penyakit dihidapi Dahlan hingga pernah terlantar sembilan bulan di hospital menuntut kos rawatan yang tinggi.
Bagi meringankan bebanan kewangan, di samping menghargai jasa pernah dicurahkan oleh superstar kita ini, atas inisiatif Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Melody United Music selaku penganjur diadakan Konsert Amal Superstar 70-an Dhalan Zainuddin di Hard Rock Cafe, pada Ahad lalu. Usaha ini sesuatu yang murni bagi membalas budi sang superstar.
Konsert julung kali diadakan khusus buat Dahlan itu turut dijayakan penyanyi seperti Jay Jay (Carefree), Jatt (Black Dog Bone) dan Fredo (Flybaits). Di sebalik usaha murni, semacam tidak kena di dalam konsert itu Dahlan dikehendaki menyanyi sama. Barangkali kita boleh memberi alasan tidak salah Dahlan menyanyi kerana menyanyi itu darah daging dia. Itu betul, tetapi apabila orang sakit kita kerahkan beliau turut menyanyi, nampak ‘buruk’ sangat. Lazimnya kita melayan ayah, ibu atau datuk atau nenek kita yang sakit apakah dia? Banyakkan berehatlah!
Alangkah baik melalui konsert amal itu, Dahlan selaku superstar hanya menjadi tetamu istimewa bukan turun padang menyanyi sama. Lebih manis, artis generasi baru terutama yang sedang popular sekarang ini mencurah bakti pada Dahlan, kerana harus diingat kenikmatan diperoleh anda semua hasil keringat artis lama memahatkan bidang seni ini agar dihormati.
Perihal Dahlan juga, tidak adillah tanggungjawab itu disandarkan pada Karyawan semata-mata. Dahlan adalah milik semua persatuan seni tanah air samada Karyawan, Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) dan Persatuan Seniman Malaysia. Bagi penulis yang menjadi wartawan era 80-an, dapat melihat bagaimana keringat dicurahkan Dahlan untuk pasukan bola sepak Seniman.
Malah ketika menyertai pasukan bola sepak PAM (Pilihan Artis Malaysia) Dahlan dan Hans Issac (Datuk) mengadakan perlawanan persahabatan bagi mencari derma untuk disalurkan kepada Wad KK3, Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. Persatuan Seniman atau YAIM bolehlah merangka program lebih sesuai selepas ini untuk membantu Dahlan selepas inisiatif Karyawan ini.
Di sisi lain, kita maklum ada persatuan dan yayasan berkaitan seni dan hiburan tanah air mendapat dana kerajaan jutaan ringgit dan melalui dana berkenaan sepatutnya tidak perlulah bersusah payah terpaksa menganjurkan konsert amal. Kalau pun mahu menganjurkan konsert amal juga, elakkan artis yang uzur itu menyanyi, kerana orang sakit perlu berehat bukan bekerja.
Penulis Pengarang
Rencana Metro Ahad