KUALA LUMPUR 26 Jun - Pelakon Tasha Shilla, 28, mahu tindakannya membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar separa bogel yang didakwa mirip dirinya sebagai suatu privasi buat dirinya dan keluarga.
Menurut Tasha, dia tidak mahu terlalu memperkatakan mengenai perkara itu dan cukup jika orang ramai mengetahui laporan polis mengenai kes itu telah dibuat pada 9 Jun lalu tanpa mendedahkan lokasi laporan dibuat.
"Saya sudah serahkan semuanya kepada pihak polis. Biarlah pihak polis jalankan siasatan. Hormatilah apa yang saya inginkan.
"Sebenarnya saya sangat kecewa kerana benda ini melibatkan maruah. Sebab itu, saya berjuang dalam diam. Nanti makin banyak saya beri kenyataan, takut dimanipulasikan pula," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia di sebuah hotel terkemuka, malam ini.
Baru-baru ini sekeping gambar wanita separa bogel telah tersebar dan ramai yang beranggapan gambar tersebut milik Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak.
Sementara itu, Tasha menganggap kes ini sebagai satu jenayah dan tidak mahu mengambil tahu siapa dalang di sebalik penyebaran gambar tersebut.
"Saya tidak tahu. Benda ini buat saya kuat kerana sedang diuji. Kita berdoa sahaja kerana itu senjata penting untuk saya sekarang.
"Terpulanglah pada orang untuk menghina saya. Apa yang penting, hubungan saya dan keluarga semakin rapat," katanya. - UTUSAN ONLINE