Selepas Lamaran Atas Jambatan New York, Lana Kini Sah Isteri Daud
Mengambil keberkatan Jumaat, hari ini menjadi tarikh bersejarah buat aktres seksi yang juga popular dengan jolokan Pamela Anderson Malaysia, Lana Nodin apabila selamat disatukan dengan jurulatih dan pemain bola tampar pasukan Amerika Syarikat (AS) di peringkat Olimpik, David atau nama Islamnya Mohammad Daud McKenzie.
Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami isteri dalam satu majlis yang berlangsung di Restoran Kim Ma, Hotel Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan, Selangor jam 10.36 pagi, sebentar tadi.
Akad nikah disempurnakan Penolong Pendaftar Perkahwinan Majlis Al-Islah Serdang Raya, Ustaz Mohd Ramizi Ramli dan disaksikan ibu bapa pengantin perempuan, Hasan Nodin Mohd Zaidi dan serta kedua ibu bapa pengantin lelaki yang tiba dari AS.
Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 35, menerima mas kahwin sebanyak AS$10,000 (RM35,713) manakala wang hantaran tidak didedahkan.
Pengantin lelaki menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.
Seusai acara akad nikah, pasangan ini melakukan upacara membatalkan air sembahyang iaitu menyarung cincin di antara pengantin lelaki dan perempuan.
Daud, 35, segak berbaju Melayu berwarna merah jambu manakala Lana kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden warna sedondon.
Majlis yang mendapat tajaan RM2 juta itu berlangsung dalam suasana meriah dihadiri ahli keluarga kedua belah pihak mempelai, kenalan artis dan teman rapat pasangan itu serta wakil media.
Sementara itu, majlis resepsi akan diadakan pada malam ini di lokasi sama bertemakan Inggeris moden menjadi pilihan pelakon filem Lagenda Budak Setan: Katrina ini.
Keluarga pengantin lelaki juga akan mengadakan satu majlis resepsi untuk kenalan rapat Daud di Los Angeles, Amerika Syarikat selepas ini.
Terdahulu, acara berinai berlangsung pada malam tadi. Pada majlis tersebut, Lana menyarungkan busana seperti kostum karakter Puteri Gunung Ledang manakala suaminya itu tampil dengan busana ala Hang Tuah.
Menyingkap detik perkenalan kedua mempelai ini, Lana mula berkenalan dengan Daud pada 26 Oktober tahun lalu dalam sebuah acara berkaitan sukan yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Singapura. Sejak itu mereka mula berkawan kemudian menjadi rapat.
Memandangkan Daud juga merupakan jurulatih di Akademi Bola Tampar Singapura, jadi sepanjang tempoh itu mereka sering berhubung menerusi Skype dan aplikasi Time Face.
Selain berpewatakan seorang lelaki yang sangat manja dan romantik, Lana tertarik dengan Daud kerana menyifatkan pilihan hatinya itu seorang yang lurus bendul dan jujur mahu memperisterikannya.
Tambah manis, Daud melamar Lana di atas jambatan New York, sekitar hujung tahun lalu. Begitupun, sebelum memutuskan untuk menyunting Lana, Daud memeluk Islam pada 5 Disember, tahun lalu.
Sementara itu, mengenai perancangan masa depan, Lana memberitahu dia akan berundur dari industri hiburan tempatan dan akan mengikut suaminya menetap di Los Angeles selain sentiasa menemani dan menyokong karier Daud.
Dalam pada itu, Lana berkata, dia akan mengembangkan karier lakonannya di AS sekiranya berpeluang kerana Daud juga mempunyai kenalan yang bekerja dalam bidang perfileman Hollywood.
- mD