Rami Alaskhar menyarungkan cinicn ke jari manis isterinya, Ramona Zamzam selepas majlis akad nikah di Kayangan Heights, Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM 1 Mei – Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Ramona Zamzam sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya yang berasal dari Palestin, Rami Alaskhar dalam majlis akad nikah di sini hari ini.
Pasangan ini dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Mohd. Zamzam Mohd. Ashraff.
Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira, 25, menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala nilai wang hantaran tidak didedahkan.
Pelakon itu berkata, dia dan Rami sememangnya mahu mempercepatkan majlis akad nikah kerana berasa kurang selesa bercinta tanpa ikatan yang sah bagi tempoh yang lama.
“Cukuplah tempoh dua tahun kami mengenali hati budi masing-masing dan kini sudah tiba masanya untuk fikirkan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Rami, 27, yang menetap di negara ini sejak 2009, menganggap perkahwinannya sebagai satu takdir yang sudah tertulis.
“Kami tiada masalah untuk berkomunikasi kerana sudah mempunyai keserasian.
“Faktor berlainan bangsa tidak menjadi penghalang buat kami berdua melayari bahtera bahagia seperti pasangan lain dan berharap hubungan ini kekal hingga akhir hayat,” katanya.