- Details
- Published on Friday, 14 February 2014 02:57
Aktres Liza Abdullah kecewa dan sedih apabila dituduh oleh sesetengah pihak bahwa dirinya mahu mencari publisiti murahan ekoran tersebarnya berita beliau memfailkan perceraian terhadap suaminya Zolkifli Abd Rahman, baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Norliza Abdullah, 50, sebagai figura umum beliau sedaya upaya mahu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Tetapi beliau juga tidak dapat mengelak dari dihimpit dengan pelbagai dugaan dalam kehidupan peribadinya.
"Sebagai manusia biasa setiap orang pasti akan menempuh suka dan duka dalam kehidupan. Saya sebolehnya akan mengelak dari dikaitkan dengan cerita -cerita gosip mahupun kontroversi. Tapi siapa sangka kita di duga pula dalam kehidupan peribadi. Dan pada saya, hal-hal peribadi ni tak perlulah orang lain tahu. Biarlah kehidupan rumah tangga kita, kita saja yang tahu. Tapi nak buat macam mana, orang tetap dapat hidu.
"Cuma yang buat saya sedih dan terkilan, apabila berita itu tersebar, ada pula beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang menuduh saya sengaja mencari publisiti dengan cerita sebegitu.
Ada juga individu seperti blogger yang dengan mudah mengadili saya sekaligus mengeluarkan cerita dengan melemparkan tomahan yang tidak berasas terhadap saya. Kalau saya ni nak glamor, dah lama dah saya buat tapi bukan dengan menjaja hal rumah tangga sendiri", katanya ketika ditemui pada sidang media 'Teater Dibawah Lindungan Kaabah', bertempat di Istana Budaya, semalam.
Luahan tersebut disuarakan pelakon drama 'Ariana Rose' ini ketika ditanya mengenai perkembangan dirinya selepas membuat keputusan menfailkan perceraian tersebut.
Bagaimanapun Liza enggan mengulas lanjut mengenai hal perceraiaannya itu kerana sebetulnya dia dan suaminya masih berhubungan baik.
"Saya masih lagi berstatus isteri orang. Hubungan saya dan suami sehingga kini masih baik. Saya dan suami sebenarnya sedang mencari jalan penyelesaian. Dan kami buat keputusan itu pun (failkan perceraian) secara baik.
"Cuma ada beberapa pihak yang seolah-olah lebih tahu akan hal rumah tangga kami daripada kami sendiri. Padahal apa yang mereka sebarkan itu tidak benar. Malah pihak tersebut memburuk-burukkan nama saya.
"Tapi saya tak salahkan mereka sebab inilah yang dikatakan harga yang perlu dibayar oleh anak seni seperti kami. Apa saja yang kami buat akan diperhatikan dan ada saja yang mereka ingin tahu", katanya yang sudah 32 tahun menceburi dunia lakonan tanah air.
Liza mempunyai empat orang anaknya iaitu Zulhaffiz Zarriq, 25, Nur Naffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.
Sementara itu dalam sebuah portal menyebut, proses perceraian Liza dan suaminya dijadualkan akan berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 24 Februari ini.
- mD