Kerajaan tidak lanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing - Saifuddin
Bernama
04/06/2024
NIBONG TEBAL: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 termasuk Bangladesh, yang telah berakhir pada 31 Mei.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini berikutan tempoh yang diberikan oleh Malaysia adalah munasabah, untuk menguruskan segala prosedur pekerja asing.
"Pada ketika kita tetapkan tarikh itu (31 Mei), kita telah mengambil kira semua proses makna bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan mengatur tiket.
"Ternyata baru-baru ini, jumlah kemasukkan lebih 20,000 pekerja asing dalam masa empat hari (28 hingga 31 Mei) dan apabila kita semak antara yang masuk itu, kelulusan visa itu diperoleh 11 tahun lepas. Isunya kenapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai, di sini hari ini.
Saifuddin berkata mengikut unjuran jumlah dengan trend kemasukan lebih 20,000 baru-baru ini, negara akan mempunyai lebih 2.6 juta pekerja asing menjelang Disember tahun ini, melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu 2.5 juta pekerja asing.
Beliau berkata kemasukan pekerja asing telah mencecah sasaran keperluan tenaga asing bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan manakala bagi sektor perladangan dan pertanian, kerajaan akan memproses mengikut kelulusan kuota yang sedia ada buat masa ini tanpa melibatkan kelulusan baharu dan berdasarkan kes.
Media tempatan melaporkan Bangladesh memohon kepada Malaysia membenarkan masuk hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia dengan melanjutkan tempoh kemasukan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau tidak mencampuri siasatan kes seorang anggota pengiring orang kenamaan memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), sebaliknya menyerahkannya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
"Itu kena IGP (Ketua Polis Negara) kot. Saya tak campur itu, bagi IGP buat," katanya.
Pada Jumaat, Razarudin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil para pegawai yang terlibat dalam siasatan kes tersebut ke Bukit Aman, untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA