Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai ahli kehormat Persekutuan Hoki Antarabangsa |
Sultan Abdullah dilantik ahli kehormat Persekutuan Hoki Antarbangsa
BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai ahli kehormat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam persidangan yang diadakan secara maya #HockeyInvites, pada Jumaat.
Menurut laman web FIH, Sultan Abdullah dipilih sebagai ahli kehormat badan itu atas usaha gigihnya dalam mempromosi dan mengembangkan sukan hoki.
“Seri Paduka Baginda Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang kini merupakan penaung diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF), memulakan usaha ke arah pembangunan semula sukan hoki di Asia dan berjanji akan meningkatkan status hoki sebagai sukan yang hebat dan simbolik di pentas Asia dan golbal,” menurut FIH.
Selain Sultan Abdullah, pelbagai persatuan kebangsaan hoki di seluruh dunia dan individu turut diiktiraf oleh badan hoki itu.
“Persekutuan Hoki Uzbekistan, dianugerahkan Pablo Negre Award atas usaha mereka yang luar biasa untuk memperbaiki keadaan permainan melalui infrastruktur baharu dan pelaksanaan model pembangunan belia ketika negara berkenaan berusaha muncul sebagai hab hoki utama di Asia Tengah.
Sebuah lagi persatuan kebangsaan yang diiktiraf ialah Persatuan Hoki Poland yang menerima Theo Ikema Award, hasil pelbagai projek pembangunan hoki yang berjaya melahirkan seramai 30 jurulatih baharu dan lebih 3,000 pelajar sekolah didedahkan kepada sukan hoki di negara berkenaan.
Penganugerahan kepada individu pula melibatkan penyerang yang memberi inspirasi dari England dan Britain, Sam Ward yang kariernya terjejas pada 2019 akibat kecederaan mata.
Beliau merupakan penerima anugerah Super Fair Play Trophy René G Frank.
“Pengiktirafan terhadap beliau bertujuan mengiktiraf ketekunan, dedikasi dan sumbangan tenaga bukan hanya bagi pemulihan dirinya, tetapi juga dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan mental.
“Beliau juga secara sukarela menyumbang masa dengan menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada komuniti setempat serta memberi sokongan kepada seorang kanak-kanak pesakit leukemia, Alfie,” menurutnya.
Sharon Williamson dari New Zealand pula diberi penghormatan dan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Seri Paduka Sultan Azlan Shah atas dedikasi dan kerja sukarela selama ribuan jam untuk merealisasikan penubuhan Pusat Hoki Kebangsaan New Zealand yang baharu, di Auckland.
Acara ini berlangsung sempena perasmian kongres FIH ke-47 pada Jumaat dengan sesi persidangan berlangsung hari ini.
Ratusan perwakilan dari seluruh dunia akan berhubung dalam persidangan maya yang julung kali diadakan itu dengan keputusan strategik utama akan dicapai demi pembangunan dan tadbir urus sukan hoki di peringkat global.