Vaksin AstraZeneca akan dimasukkan kembali ke dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 |
BERNAMA
PUTRAJAYA, 27 Mei -- Vaksin AstraZeneca akan dimasukkan kembali ke dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19, berikutan sambutan memberangsangkan orang ramai terhadap vaksin itu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata keputusan untuk melaksanakan kaedah sukarela atau ‘opt-in’ dibuat, setelah melihat keengganan dalam kalangan masyarakat menerima vaksin AstraZeneca, disebabkan laporan mengaitkan vaksin berkenaan dengan kes pembekuan darah.
“Walaubagaimanapun selepas melihat sambutan memberangsangkan, kita melihat tahap keengganan terhadap vaksin AstraZeneca terhakis.
“Jadi selepas ini kita buat keputusan untuk bulan-bulan akan datang, kita tidak lagi melaksanakan AstraZeneca secara ‘opt-in’ dan sebaliknya kembali dimasukkan ke dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Khairy berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mempertimbangkan syor Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKPCV), berhubung cadangan untuk memanjangkan selang masa dos kedua untuk vaksin Pfizer-BioNtech, daripada tiga minggu kepada enam minggu.
Beliau berkata, keputusan untuk menambah penjarakan masa vaksin itu, akan bergantung kepada situasi penularan ‘variant of concern’ (VOC) dalam negara.
“Walaupun strategi untuk kita tambah masa penjarakan Pfizer-BioNtech, daripada tiga minggu kepada enam minggu akan membolehkan kita memberikan vaksin kepada lebih ramai orang, keputusan itu perlu diimbangi. Kita melihat kepada kewujudan VOC, yang mana ini akan memberi kesan kepada keberkesanan vaksin tersebut,” katanya.
Menurutnya, data menunjukkan satu dos Pfizer-BioNtech hanya memberikan perlindungan sebanyak 33 peratus terhadap varian B.1.617.2 atau varian India, manakala dua dos Pfizer-BioNtech akan memberi perlindungan sebanyak 88 peratus.
“Walaupun keputusan ini ialah strategi yang baik dari segi liputan untuk orang ramai yang dapat diberi perlindungan, tetapi dari sudut kualiti perlindungan terhadap varian B.1.617.2 adalah lebih rendah.
“Kita akan melihat kepada ‘prevalence’ VOC dan sekiranya lokaliti di mana ‘prevalence’ VOC itu adalah rendah, maka kita boleh buat keputusan untuk menambahkan jarak atau selang masa antara dua dos Pfizer-BioNtech,” katanya.
Buat masa ini, Khairy berkata kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan selang masa antara dos pertama dan kedua vaksin Pfizer-BioNtech kepada tiga minggu, di kawasan di mana adanya ‘prevalence’ VOC B.1.617.2.
“Ini adalah selari dengan keputusan terkini dari negara lain, yang melihat kepada isu VOC di mana satu dos sahaja tidak memberi perlindungan yang efektif kepada penerima vaksin terhadap varian B.1.617.2,” katanya.
Selasa lepas, Kementerian Kesihatan mengesan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang positif COVID-19 dengan VOC India B.1.617.2, yang mana pesakit adalah kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersama dengannya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan, pada 23 April lalu.
Dalam pada itu Khairy berkata, aplikasi MySejahtera akan dinaik taraf dalam masa terdekat, bagi membolehkan orang ramai membuat pilihan jenis vaksin COVID-19 yang dikehendaki, termasuk kebebasan memilih tarikh janji temu dan tempat Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Saya fikir, kami belajar banyak perkara daripada laman sesawang dan saya rasa ia lebih mudah untuk dilakukan dalam MySejahtera, dan saya rasa adalah lebih baik untuk kami galakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi ini.
“kami akan melihat bagaimana anda memilih janji temu anda, tempat, tarikh dan juga jenis vaksin dan kami mahu membuatkan proses itu semudah yang mungkin untuk orang ramai. Kami sedang bekerja dengan beberapa pilihan pada masa ini, dan kami akan umumkannya dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang,” katanya.