Translate

28 May 2021

Penganggur Didakwa Bunuh Bekas Abang Ipar, Cederakan Anak, Bekas Isteri (Video)

Penganggur dihadapkan ke beberapa buah mahkamah hari ini atas pelbagai pertuduhan iaitu membunuh bekas abang ipar pada pagi Syawal

Penganggur didakwa bunuh bekas abang ipar, cederakan anak, bekas isteri

BERNAMA

JASIN, 27 Mei -- Seorang penganggur dihadapkan ke beberapa buah mahkamah hari ini atas pelbagai pertuduhan iaitu membunuh bekas abang ipar pada pagi Syawal, mencederakan anaknya sendiri dan bekas isterinya dengan rotan serta memukul teman lelaki bekas isterinya hingga patah rahang.

Di Mahkamah Majistret di sini, Mohd Amin Mohamad, 32, didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, Merlimau di sini antara 7 pagi hingga 7.30 pagi pada 13 Mei lepas.

Tertuduh berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Amin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Julai bagi serahan dokumen dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Singh.

Sementara di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Amin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencederakan empat individu.

Di Mahkamah Majistret, dia didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas dua anak perempuannya berusia 10 tahun dan lapan tahun dengan rotan di sebuah rumah di Permatang Pasir, Alai di sini pada 15 Mei 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu berdepan pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas bekas isterinya, Hashimah Hanafi, 32, dengan rotan pada 15 Dis 2020 di tempat sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas teman lelaki bekas isterinya, Mah Azrul Mah Hussain, 39, dengan memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali hingga patah rahang di Lorong Berangan Enam Umbai, Merlimau pada 11 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi semua pertuduhan pada 16 Julai untuk serahan dokumen dan laporan kimia.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED