Seorang pembantu kedai basikal dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen |
Tergamak rogol wanita OKU hingga mengandung
Kelab Info Malaysia
13/4/2021
Kota Bharu: Seorang pembantu kedai basikal dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol wanita Orang Kurang Upaya (OKU) sehingga mengandung, pada Oktober 2020.
Tertuduh, Aziz Mamat, 60, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita berusia 40 tahun walaupun tahu kecacatan mental yang dialami mangsa.
Kejadian itu dilakukan di bilik air sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kuin Pasir, Jelawat dekat Bachok, lebih kurang jam 7 petang, Oktober 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun sehingga 30 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian itu terbongkar selepas kakak ipar mangsa berusia 47 tahun yang mendapati adik iparnya tidak datang bulan dan hasil ujian kehamilan mendapati wanita itu mengandung.
Mangsa memaklumkan dia dirogol oleh tertuduh yang bekerja di kedai basikal sebelum membuat laporan di Balai Polis Bachok.
Tertuduh menyerah diri di pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan mendapati mangsa dirogol dan mengandung 22 minggu, namun mengalami keguguran Rabu lalu.
Terdahulu, tertuduh merayu supaya mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia mengalami sakit gout dan mempunyai anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.
Katanya, sebagai seorang yang sudah berusia, sepatutnya tertuduh menunjukkan akhlak yang baik dan menjaga OKU serta hukuman itu mampu memberi pengajaran kepada orang awam.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun yang bermula dari tarikh ditangkap pada 7 April dan satu sebatan kepada tertuduh.
Source: Harian Metro