Translate

22 April 2021

Pukul Pengawal Peribadi: Ahli Perniagaan, Pembantu Mengaku Tidak Bersalah

Ahli perniagaan dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang


Pukul pengawal peribadi: Ahli perniagaan, pembantu mengaku tidak bersalah

Astro Awani
22/4/2021

KLANG : Seorang ahli perniagaan dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan, bersubahat dan dengan niat melukakan perasaan keagamaan terhadap dua pengawal keselamatan di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.

Tertuduh Chung Chee Yang, 43, yang berdepan lima pertuduhan dan pembantu peribadinya Choo Hin Voon, 43, dua pertuduhan membuat pengakuan itu selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Chee Yang juga dituduh bersuhabat dengan tertuduh kedua dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27 dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Manakala pertuduhan kedua dan ketiga di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ia membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada hukuman itu.

Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua duanya sekali.

Chee Yang turut dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam Zulkepli pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi tertuduh kedua, Choo Hin Voon, 43, dia berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua mangsa dengan menggunakan sebatang rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat ,atau dua daripada-mana hukuman itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Chee Yang diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, dan RM20,000 bagi dua lagi pertuduhan terhadapnya.

Manakala tertuduh kedua Hin Voon, diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 atas dua pertuduhan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Loi Yap Loong.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 bagi lima pertuduhan terhadap tertuduh pertama dan RM20,000 bagi tertuduh kedua.

Ahli perniagaan dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED