Translate

14 April 2021

Mahkamah diberitahu Najib Terlibat Dalam Keputusan Mesyuarat, Ada 'Interest' Kepada SRC International

Datuk Seri Najib Tun Razak

Mahkamah diberitahu Najib terlibat dalam keputusan mesyuarat, ada 'interest' kepada SRC International


Astro Awani
14/4/2021

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat secara peribadi dalam keputusan dua Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) bagi meluluskan jaminan kerajaan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Mesyuarat berkenaan yang berlangsung pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 bagi membincangkan permohonan jaminan kerajaan kepada KWAP yang dipohon oleh SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion.

Perkara itu dimaklumkan oleh pendakwa ad hoc, Datuk V Sithambaram dalam pernyataan penghujahan melibatkan rayuan Najib untuk mengenepikan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya lagi, keputusan yang dibuat oleh perayu (Najib) yang mempengerusikan MJM memenuhi elemen menggunakan jawatan atau kedudukannya.

Selain itu, Mahkamah Rayuan turut diberitahu bahawa Najib mempunyai 'interest' terhadap SRC International, berbanding menarik diri daripada mesyuarat yang dihadiri anggota Kabinet MJM.

Ini kerana, kata Sithambaram, dalam penghujahan tersebut, tindakan menarik diri adalah bagi mengelakkan berlaku konflik kepentingan.

Mahkamah diberitahu lagi, dengan menghadiri mesyuarat tersebut, anggota Kabinat MJM yang lain tidak dapat membuat perbincangan secara bebas mengena jaminan kerajaan kerana perayu mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Justeru, kegagalan perayu untuk menarik diri atau mengecualikan diri daripada mesyuarat tersebut menjadinya berada dalam posisi konflik antara kepentingan awam dan peribadi dalam SRC International.

Sehubungan itu, tindakan Najib itu secara jelas adalah salah guna kuasa menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jelas beliau.

Menurut Sithambaram lagi, Najib juga mempunyai kuasa mutlak terhadap SRC International termasuk mengambil alih dan memecat pengarah memandangkan perlembagaan syarikat membenarkannya.

Dalam masa yang sama, pihak pendakwaan sekali lagi turut mempertikaikan kelulusan pinjaman RM4 bilion yang masing-masing diberikan sebanyak RM2 bilion, selain pinjaman berkenaan diluluskan secara tergesa-gesa.

Katanya, tiada rasional untuk kelulusan kelulusan kedua sebanyak RM2 bilion lagi memandangkan pinjaman pertama tidak menunjukkan sebarang faedah.

Jelas beliau, pinjaman kedua tersebut bertarikh 18 Mac 2012.

Bagaimanapun, Kabinet telah meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman sama pada Februari 2012.

Dua jaminan untuk pinjaman tersebut juga tidak dibentangkan di Parlimen, katanya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah SRC International hanya dilantik selepas syarikat itu membuat permohonan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Najib sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan KWAP meluluskan permohonan pinjaman SRC pada 2010 dan 2011.

SRC didakwa menerima pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP antara 2011 dan 2012.

Rayuan kes ini didengar oleh panel tiga hakim, diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama dengan Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Najib pernah terima RM2.6 bilion, RM42 juta 'kacang' baginya - Pendakwaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bahawa dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak diibaratkan seperti ‘kacang’ buat bekas Perdana Menteri itu.

Pendakwa raya ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata jumlah tersebut seperti 'kacang' untuk Najib kerana beliau sebelum ini telah mengambil sumbangan sebanyak RM2.6 bilion.

Beliau berkata demikian di hadapan panel tiga hakim, diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama dengan Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam perbicaraan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas penyalahgunaan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Dalam hal ini, Najib memiliki kawalan penuh terhadap syarikat (SRC International) dan setiap kali beliau memerlukan wang, beliau mengambilnya.

“Yang Arif, beliau telah mengambil RM2.6 bilion sebelum ini, (dan) ini hanya 'kacang' untuknya,” kata Sithambaram dalam penghujahannya.

Terdahulu dalam penghujahannya, Sithambaram berkata Najib mempunyai kuasa mutlak terhadap SRC International termasuk mengambil alih dan memecat pengarah memandangkan perlembagaan syarikat membenarkannya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkali-kali menegaskan bahawa dana berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED