Translate

15 April 2021

'Jangan Bawa Anak Kecil Bersesak Dalam Bazar Ramadan'

 MBAS tegas mengingatkan orang ramai agar tidak membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan

'Jangan bawa anak kecil bersesak dalam bazar Ramadan'


Astro Awani
15/4/2021

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tegas mengingatkan orang ramai agar tidak membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dalam usaha menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang makin meningkat di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa MBAS Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, pengunjung dinasihati supaya tidak membawa ahli keluarga untuk membeli juadah di bazar kerana keadaan bersesak dan bersentuhan boleh mengundang risiko jangkitan.

Katanya, pihaknya mendapati masih ada yang membawa anak kecil termasuk bayi untuk membeli juadah, seolah-olah menganggap tiada apa yang berlaku.

Sebaliknya, katanya, pihaknya malah tidak menggalakkan jumlah yang ramai datang ke bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan setiap hari.

"Untuk mengelakkan kesesakan berlaku, saya nasihatkan supaya pengunjung tidak hadir bersama-sama dengan anak-anak dan juga ahli keluarga yang lain.

"Cukuplah sekadar hadir berseorangan untuk mendapatkan juadah yang perlu sahaja. Sebab, kita hendak menjaga jarak. Ia memerlukan satu ruang yang luas.

"Kalau kehadiran terlampau ramai, kita tidak mampu untuk menjaga jarak dan juga, mungkin penularan COVID-19 akan berlaku sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Stadium Darulaman di sini pada Rabu.

Kata Ahmad Syaher, di bazar tersebut, dua laluan masuk dibuka dan kawalan ketat dilakukan di mana semua pengunjung perlu mendaftar dengan MySejahtera dan mengimbas suhu badan terlebih dahulu.

Menurutnya, untuk tahun ini, empat tapak bazar Ramadan dibuka di bawah seliaan MBAS iaitu di Stadium Darul Aman, Simpang Kuala, Jalan Putra dan Peremba.

Selain itu, terdapat lapan bazar ramadan swasta iaitu di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Kompleks Perniagaan Ampang, perkarangan Raia Hotel & Convention Centre dan perkarangan Koperasi Pekan Rabu.

Bagi operasi pemantauan, Ahmad Syaher berkata, pihaknnya menggerakkan keseluruhan lebih kurang 65 anggota yang ditempatkan di setiap bazar termasuk yang dikendalikan pihak swasta.

"Pemantauan kita lebih kepada pematuhan SOP, pemeriksaan lesen perniagaan, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.

"Sehingga kini, kita pihak MBAS berkerjasama dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah untuk buat pemeriksaan.

"Sekiranya mana-mana orang didapati gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan, orang tersebut boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta 425," katanya.

Setakat ini, jumlah kes jangkitan COVID-19 di Kedah mencatatkan peningkatan, daripada 48 kes pada Isnin kepada 53 kes hari ini.

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED