BERNAMA
13/08/2020 10:57 AMPARIT, 13 Ogos -- Seorang penternak lembu mengalami kerugian hampir RM55,000 apabila 19 ekor lembu miliknya ditemukan mati di Ladang Kelapa Sawit di Sungai Tareh, Lambor Kanan dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata pemilik, Abd Rashid Hassan, 42, mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan rakannya terdapat beberapa ekor lembu mati bergelimpangan di ladang kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Barudin berkata mangsa kemudiannya pergi ke ladang tersebut kira-kira pukul 2 petang sebelum mendapati 20 ekor lembu mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih dan darah keluar melalui hidung.
“Pemeriksaan pemilik lembu itu mendapati 19 ekor adalah kepunyaannya manakala seekor lagi belum dapat dipastikan.
“Tempat kejadian adalah ladang hak milik persendirian orang kampung seluas 1.6 hektar yang baru ditanam dengan anak pokok kelapa sawit pada April tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Barudin berkata pemilik lembu itu menternak sebanyak 200 ekor lembu secara lepas bebas.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan.
“Kita turut memaklumkan kejadian terbabit kepada Jabatan Veterinar bagi mengenal pasti punca kematian lembu-lembu tersebut sama ada terdapat unsur khianat, penyakit dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA