Translate

15 August 2020

PRK DUN Slim- pertandingan tiga penjuru




Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Slim


15/08/2020 11:32 AM



TANJUNG MALIM, 15 Ogos-- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertembungan antara Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, yang mewakili BN, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi.

Seorang lagi calon Bebas ialah S. Sentharasekaran, 44 tahun.


Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat pegawai pengurus pilihan raya Shamsul Ridzuan Idris kira-kira 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, ditutup pada 10 pagi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan tiada calon yang ditolak kertas penamaan,” katanya ketika mengumumkan nama calon bertanding.

Terdahulu, Mohd Zaidi hadir bersama pencadang iaitu Yang Dipertua PAS Tanjung Malim Mohd Tarmizi Ab Rahman dan penyokong, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim G. Magendran, menyerahkan borang pencalonan pada 9.03 bagi mempertahankan kerusi BN itu.


Amir Khusyairi pula diiringi pencadang Mohd Fazley Mohd Isa dan penyokong Siti Robangiah Abdul Jalil, mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi dan akan menggunakan simbol pokok.

Bekas guru Sentharasekaran yang menggunakan simbol buku pula, hadir bersama pencadang P. Chantiran dan penyokong Chai Kin Kheong, menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 25 Ogos ini.


PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN, menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu, melibatkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

-- BERNAMA



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED