Translate

05 August 2020

Datuk Seri Farizan Darus dilantik CEO Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd



BERNAMA

05/08/2020 04:57 PM


GEORGE TOWN, 5 Ogos -- Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi syarikat tujuan khas (SPV) baharu, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini berkata pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dapat diterajui dengan jaya dan berkesan.

"Lembaga Pengarah yang bersidang pada 15 Julai lepas telah bersetuju melantik Farizan sebagai CEO PIC. Kerajaan negeri berpandangan bahawa Farizan merupakan calon yang kompeten untuk memegang jawatan ini berdasarkan reputasi baik dan kejayaan beliau dalam aspek pengurusan serta pentadbiran," katanya.

Sementara itu, Farizan yang turut hadir pada sidang media berkenaan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha memastikan rakyat di negeri itu mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek-projek yang akan dijalankan syarikat itu.

PIC yang diperbadankan pada 9 Julai lepas adalah bertujuan melaksanakan projek infrastruktur mega di bawah PTMP merangkumi komponen LRT Bayan Lepas, lebuh raya, terowong dasar laut dan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Syarikat tersebut bakal terlibat merancang dan membangunkan kawasan PSR termasuk ‘topside development’ selain bekerjasama dengan rakan pelaksana projek (PDP) bagi meneliti kerangka kewangan untuk pembiayaan komponen utama PTMP dengan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED