Translate

23 August 2020

Datuk Seri Zahid Hamidi sah MIC daftar bersama Perikatan Nasional



Astro Awani

23 Ogos 2020

TANJUNG MALIM: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MIC adalah salah sebuah parti yang terlibat dalam permohonan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, PAS dan parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) turut berdaftar dengan pakatan tersebut.

Menurutnya, setakat ini, tindakan parti-parti itu tidak menjadi masalah kerana PN perlu didaftarkan.
"Ya memang setakat ini, maklumat saya perolehi, MIC menjadi salah sebuah parti yang turut mendaftarkan Perikatan Nasional bersama-sama PAS, STAR serta Bersatu.

"Ini tak jadi masalah setakat ni kerana Perikatan Nasional harus didaftarkan.

"Maka (tetapi), sama ada kita mahu menggunakan lambang Perikatan Nasional atau sebaliknya, pendirian UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU akan datang, adalah kita tetap guna lambang dacing Barisan Nasional untuk jadi simbol kepada calon-calon UMNO dan Barisan Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama pengundi India di Kampung Baru Slim, pada Ahad.

Terdahulu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perikatan itu dijangka disertai oleh lima parti termasuk daripada komponen BN.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan dalam masa terdekat mengenai status permohonan PN.


Source : Astro Awani

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED