Translate

22 December 2018

Terdapat perancangan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menggulingkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad




UTUSAN ONLINE
‘Ada usaha jatuhkan Dr. Mahathir’- Khairuddin



DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan. - UTUSAN ONLINE


Badrul Hafizan Mat Isa

22 Disember 2018 2:20 PM




KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa terdapat perancangan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menggulingkan Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada jawatan Perdana Menteri.


Menyifatkan pihak tersebut sebagai ‘puak parasit’, Khairuddin menjelaskan lagi, perkara tersebut dirancang oleh golongan yang kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawatan.


“Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri!

“Namun, puak-puak ‘tahi kucing’ ini terlalu kerdil bagi saya, Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi (dalam) kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja, mereka ini ‘pot tin’ kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tegas oleh Khairuddin tersebut dipercayai susulan daripada kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Datuk Johari Abdul semalam bahawa kerajaan PH seolah-olah mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang menyebabkan rakyat kecewa dan Dr. Mahathir seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

Johari turut menggesa Perdana Menteri agar berhenti bermain isu berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pencuri sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan biarlah pihak berkuasa menentukannya.

Sementara itu, Khairuddin yang juga Penyelaras Parlimen Jasin mengingatkan pihak yang tidak mahu mengiktiraf kerja kuat Dr. Mahathir supaya jangan bersikap berlebihan dan kurang ajar.

“Perdana menteri yang sedang bertungkus lumus siang dan malam untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi memerlukan sokongan padu dari semua pihak. Ini bukan kerja Perdana Menteri seorang diri, ia adalah tanggungjawab serta tindakan kolektif dari semua pihak dalam PH.

“Jangan asyik nak salahkan Perdana Menteri seorang diri saja. Tolong jangan kurang ajar, Dr. Mahathir ke luar negara bukan bercuti tetapi lawatan rasmi ke arah untuk mendapatkan keyakinan dunia luar bagi membangunkan semula negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/8216-ada-usaha-jatuhkan-dr-mahathir-8217-khairuddin-1.809254#ixzz5aOZH2ZaD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED