Translate

21 December 2018

Polis Bongkar Counting Centre Judi Online Dalam Banglo Mewah di Seri Kembangan



MKL Crime Desk

Kegiatan sindiket perjudian online yang berselindung di sebalik kawasan perumahan elit di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini sejak sebulan lalu terbongkar apabila markas sindiket itu diserbu polis, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 4.10 petang itu, sebanyak 32 individu termasuk tiga wanita warga China berusia antara 20 dan 52 tahun yang bekerja dengan sindiket sebagai pengendali pertaruhan perjudian online turut ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, selain dijadikan pusat operasi perjudian online, banglo empat tingkat yang diserbu itu juga dijadikan hostel untuk kesemua tangkapan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pertaruhan judi online menyasarkan pemain judi dari luar negara terutamanya dari Hong Kong, China dan Taiwan.

Hasil semakan mendapati sindiket perjudian online ini telah menerima pertaruhan berjumlah RM15 juta dalam tempoh sebulan operasi mereka di sini.

Polis merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu termasuk beberapa telefon bimbit, 16 set komputer dan tiga modem.

Selain itu, Fadzil memaklumkan, serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Tambah Fadzil, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesan ketua sindiket, pemilik banglo dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam operasi perjudian online ini.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED