Bantuan RM600 Sebulan Jika Hilang Pekerjaan
- Details
- Published on Tuesday, 02 January 2018 22:37
KUALA LUMPUR: Mereka yang kehilangan pekerjaan tahun ini layak mendapat bantuan interim sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah Akta Sistem Insurans 2017.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata langkah itu bertujuan memperkasa perlindungan keselamatan sosial melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Melalui SIP, pekerja yang terjejas akan dibantu secara khusus bagi mendapatkan pekerjaan baharu melalui perkhidmatan pekerjaan yang diberikan oleh pegawai perkhidmatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka yang layak memohon bantuan interim itu pada masa yang sama perlu menyertai Program Penempatan Pekerjaan Semula yang akan dikawal selia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk meningkatkan kebolehkerjaan mereka.
Permohonan bagi bayaran interim boleh dilaksanakan melalui portal dalam talian laman sesawang www.perkeso.gov.my/sip atau hadir sendiri di kaunter Perkeso di seluruh negara.
Selain itu, bermula Februari ini, majikan boleh mendaftar dan membuat bayaran caruman melalui portal “Assist Perkeso” manakala pembayaran faedah SIP akan bermula pada Januari 2019.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SIP boleh menghubungi Perkeso di talian 1300 22 8000 atau melayari laman sesawang rasmi Perkeso.
-BERNAMA