#ExoLuXioninMY : Malaysia Panas, EXO Salin Baju Atas Pentas
Lengkap dengan sembilan anggota, kumpulan terkenal EXO, berjaya menghibur sekaligus meninggalkan memori paling manis untuk dikenang dalam tahun 2016 buat lebih 14,000 EXO-L (gelaran untuk peminat tegar) menerusi konsert jelajah mereka yang diberi nama 'EXO Planet #2 The EXOLuXion World Tour in Malaysia', yang berlangsung di Stadium Merdeka, pada Sabtu lalu.
Memulakan persembahan pada jam 8.10 malam, Suho, Baekhyun, Sehun, Chanyeol, Kai, D.O., Xiumin, Lay dan Chen tampil dengan pembukaan cukup bertenaga menerusi 'Overdose', lagu dari dari album mini mereka yang dilancarkan pada 2014 diikuti lagu 'History' dan 'El-Dorado'.
Ini merupakan konsert solo pertama EXO di Kuala Lumpur sekaligus Malaysia adalah destinasi terakhir bagi siri jelajah kali ini.
Terdahulu, EXO memulakan persembahan pada Mac lalu di Korea Selatan sebelum menjelajah ke Jepun, China, Macau, Hong Kong, Thailand dan Taiwan, Indonesia, Filipina, Singapura seterusnya di lima buah bandar di Amerika Utara pada Februari lalu.
Selama hampir 3 jam konsert berlangsung, EXO mempersembahkan lagu seperti 'Don’t Go' dan 'Playboy,' seterusnya lagu balada, 'Baby Don’t Cry'. Tidak cukup dengan itu, persembahan istimewa dari Baekhyun yang bermain piano dan menyanyikan lagu 'My Answer' bersama Suho dan D.O.
Deretan lagu hits lain antaranya, 'The Star', 'Exodus', 'The Hurt, 'Peter Pan', 'XOXO', 'Lucky', '3.6.5', 'Christmas Day', 'Miracles in December', 'Full Moon', 'Machine', 'Drop That', 'Let Out the Beast', 'Run', 'Call Me Baby, 'Growl.
Konsert yang tamat pada jam 11 malam itu diakhiri dengan lagu 'Love Me Right' dan 'Unfair'
Seperkara yang pasti menjadi bualan ramai tentang konsert EXO bukan hanya persembahan energetik, tarian juga gelagat bersahaja dan lucu mereka di atas pentas tetapi pada konsert yang menelan kos produksi RM2 juta ini, penonton diperlihatkan dengan rekaan pentas yang cukup dinamik dan menakjubkan termasuklah skrin LED gergasi definisi tinggi, lampu dan laser, kolam mandi mini dan tangga ala eskalator - menambahkan kehangatan konsert.
Lagi Perkara Menarik Tentang 'EXO'LuXion World Tour in Malaysia'
1. Bagaikan satu perhimpunan besar-besaran peminat KPop, ramai sudah mula membanjiri perkarangan stadium sejak awal pagi lagi untuk beratur. Bagaimanapun disebabkan cuaca terlalu panas, MD difahamkan ramai fans pengsan beberapa jam sebelum konsert bermula. Sementara menunggu, ada kalangan kumpulan peminat berlatih nyanyian dan sorakan sebagai projek khas mereka untuk EXO ketika berlangsungnya konsert.
2.Kira-kira jam 2 petang, perkarangan suasana stadium tiba-tiba gamat dengan sorakan peminat apabila mereka menyedari EXO tiba di pentas bagi menjalani sesi latihan.
3. Biarpun hujan lebat sejak jam 5.30 petang namun peminat tidak berganjak dan bersabar menanti sehingga pintu stadium dibuka. Menghampiri jam 6 petang, peminat bersorak meminta pihak penganjur membuka pintu dan membenarkan mereka masuk ke dalam stadium.
4. Dari awal hingga akhir konsert, penonton tidak berhenti menyanyi bersama-sama. Selain itu, antara momen yang hanya akan dapat dilihat di konsert KPop adalah apabila semua peminat bersatu hati untuk melakukan projek khas untuk idola mereka. Untuk 'EXO'luXion World Tour in Malaysia', fans berjaya membuat projek banner ketika lagu Lucky dan Sing For You.
5.Ketika sesi interaksi, Chen memulakan salam perkenalan dalam bahasa Malaysia dengan ucapan "Selamat Datang!".
6.Manakala ketua kumpulan, Suho, pula berkata, "Malaysia sangat cantik tapi panas. Kami banyak berpeluh. Saya berharap anda semua jangan lupa untuk banyakkan minum air supaya tidak mengalami dehidrasi. Cuaca Malaysia sangat panas, saya rasa seperti mahu saja bawa anda semua pulang bersama saya ke Korea.
7.Sepanjang konsert, asalkan ada peluang berinteraksi dengan peminat, setiap anggota EXO mengingatkan peminat supaya minum banyak air.
8.Sehun dan Kai (SEKAI) mencuri perhatian apabila mempamerkan aksi dan skil tarian ketika Playboy. Selain aksi Kai menari di dalam kolam mini juga antara yang memang ditunggu-tunggu penonton.
9. Satu lagi kejutan apabila tiba-tiba ada percikan bunga api di udara mengiringi persembahan Playboy. Reaksi kesemua anggota EXO menunjukan mereka terkejut dan semakin bersemangat membuat persembahan. Begitu juga dengan semua penonton yang semakin kuat bersorak. Namun tidak pasti samada kejutan itu dirancang pihak produksi dan penganjur atau ia secara kebetulan.
10. Satu lagi persembahan yang ditunggu-tunggu peminat ialah lagu Lucky kerana istimewanya, bukan setakat menyaksikan gelagat bersahaja dan lucu EXO di pentas tetapi momen mereka yang sambil menyanyi sambil menukar baju.
Kredit video: Christina
11. Sebelum konsert anjuran Star Planet dengan kerjasama Spritzer dan Robson Hill ini berakhir, penonton sempat menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk Xiumin yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada 26 Mac ini.
-Malaysian Digest