Dikasari Ammar Alfian, Jehan Tidak Bertegur Sapa Sejak Tiga Tahun Lalu
PETALING JAYA: Pelakon baharu Nur Jihan memberitahu dia masih tidak bertegur sapa atau berkomunikasi dengan pelakon Ammar Alfian selepas peristiwa dikasari lelaki tersebut ketika penggambaran filem Showdown The Movie tiga tahun lalu.
Jehan atau nama sebenarnya Nor Jehan Ahmad Shukri, 24, berkata, dia ingin melupakan kejadian itu dan enggan perkara tersebut menyekat kerjayanya yang baharu menceburi bidang lakonan.
"Ia adalah antara pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan dan sehingga sekarang kami tidak pernah berkomunikasi atau terjumpa di mana-mana.
"Saya pun malas untuk besar-besarkan kerana ketika berita itu keluar bukanlah dari mulut saya atau saya yang mereka-reka cerita seperti tuduhan Ammar.
"Saya orang baru dan saya tidak ada hubungan atau baik dengan mana-mana media untuk bercerita tentang kejadian itu," ujarnya kepada mStar Online pada sesi ramah mesra bersama pelajar dan pelakon filem Showdown The Movie Bersama Pelajar KLMUC di Auditorium Kolej Metropolitan Kuala Lumpur, di sini, Selasa.
Jehan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai insiden dia dipukul oleh pelakon Ammar Alfian ketika menjalani penggambaran filem berkenaan tiga tahun lalu.
Sementara itu, mengulas tentang kejadian yang berlaku itu, Jehan berkata, aktor tersebut mungkin terlalu terbawa-bawa watak yang dilakonkan ketika bukan waktu penggambaran.
"Ketika itu kami sedang berehat dari penggambaran untuk beberapa babak akhir dan Ammar adalah kumpulan lawan. Saya cuba untuk menegurnya dan menepuk belakangnya.
"Dia kemudian secara sengaja atau tidak telah bertindak menyigung saya dengan kuat sehingga terjatuh, ketika itu memang dia seperti marah dan rakan-rakan yang berada di tempat kejadian cuba meredakan keadaan," ujarnya.
Tambah Jehan, ketika melakonkan beberapa babak akhir filem iaitu aksi perlawanan tarian, kedua-dua pasukan diasingkan bilik berikutan terbawa-bawa babak tersebut.
"Saya pun pelik masa babak bettle tu memang semuanya cepat panas dan mudah marah mungkin terbawa-bawa karekter hingga keluar. Kami juga diberi bilik berasingan agar tidak timbul pergaduhan," ujarnya.
Selain itu, tambah Jehan dia berdebar menunggu tayangan filem pertamanya Showdown The Movie bermula pada 7 April depan.
Filem ini merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian, Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi.
Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Reza Hasbi, Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida dan Esma Daniel.
- mStar