- View PhotoFarid Kamil: Saya maafkan Diana
26 Jun – Aktor kacak Farid Kamil meminta semua pihak supaya memaafkan tindakan isterinya aktres Diana Danielle yang terkilan terhadap tindakan Nora Danish yang memuat naik foto menyentuh tangan suaminya ketika sesi fotografi promosi sebuah filem baru-baru ini.
Farid, 32, yang ditemui sempena majlis pelancaran 'Kad Amal & Kad Ucapan Hari Raya' untuk filem "Lagenda Budak Setan 3" di Red Box Sogo Kuala Lumpur menjelaskan tindakan Diana itu hanyalah perkara biasa sebagai seorang wanita yang mempunyai perasaan cemburu terhadap orang yang dikasihinya.
"Perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan saya harapkan pihak tertentu dapat maafkan tindakan dia. Saya anggap perkara ini tak perlu dijadikan isu kerana biasalah ianya luahan seorang wanita," ujarnya.
Terdahulu, Diana telah memuat naik status berbaur cemburu terhadap Nora di laman Instagramnya yang memegang tangan Farid di majlis promosi filem "Pengantin Malam".
Walaupun mengakui agak terkejut dengan tindakan isterinya itu, namun Farid mengambil pendekatan positif dengan menganggap semua ini sebagai lumrah kehidupan di dalam alam perkahwinan.
"Saya ada berbincang dengannya mengenai perkara ini dan biasalah setiap hari ada sahaja perkara baru yang kita belajar dan masing-masing masih dalam proses pembelajaran dalam kehidupan berumah tangga," jelas Farid.
Bagaimanapun, kejadian ini tidak memberi kesan terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon dan pihak pengurusan Farid, MIG telah pun menjelaskan perkara ini sebaik mungkin agar tidak berlaku salah faham di masa akan datang.
Sementara itu, Farid juga menganggap kejadian ini sedikit sebanyak memberi publisiti terhadap filem "Pengantin Malam" yang sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Farid bakal sibuk mempromosikan filem "Lagenda Budak Setan 3","Pengantin Malam" serta bakal keluar dengan filem "Anak Jantan" tidak lama lagi.