Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti Syiah kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Khatib melalui khutbah Jumaat hari ini berkata apa yang terkandung dalam Syiah seperti merendahkan kedudukan Rasulullah serta mengkafirkan para sahabat jelas menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASJ).
“Oleh sebab itu, Selangor memfatwakan Syiah ini bercanggah dan menyeleweng pada Februari 1998, seterusnya diwartakan semula bertujuan memperkukuhkan perkara berkaitan yang terdapat pada amalan Syiah.
“Syiah menyanjung tinggi imam-imam mereka bahkan meletakkannya setaraf dan kadangkala lebih tinggi dari Allah dan Nabi Muhammad,” katanya melalui khutbah hari ini bertajuk “Penyelewengan Syiah”.
Minggu lalu, media melaporkan bekas jemaah umrah sebuah agensi pelancongan di Kedah mengakui agensi berkenaan menyebarkan fahaman Syiah.
Penyebaran fahaman itu dilakukan semasa slot kursus umrah yang dijalankan agensi berkenaan, lapor Sinar Harian.
Menurut jemaah yang ditemui, penyebaran fahaman itu dibuat tanpa berselindung sambil mengagung-agungkan Saidina Ali.
Katanya, setiap doa yang dibacakan juga sering menyebut nama Saidina Ali.
Jais berkata antara ciri-ciri ajaran Syiah adalah menganggap imam mereka terpelihara daripada dosa dan pelantikan imam tersebut sama seperti pelantikan nabi.
Katanya, penganut Syiah juga percaya kemunculan Imam Mahdi akan menghukum golongan yang mereka dakwa melakukan kezaliman seperti para sahabat Rasulullah.
“Syiah meyakini bahawa imam mereka adalah maksum, iaitu terpelihara daripada dosa kecil dan dosa besar semenjak kanak-kanak hinggalah meninggal dunia.
“Mereka menganggap kedudukan imam mereka setaraf dengan nabi-nabi. Para imam mereka juga tidak melakukan kesalahan dan tidak pelupa.
“Golongan Syiah dikehendaki percaya bahawa Allah akan menghidupkan semula orang mati bersama Imam Mahdi untuk menghukum orang yang mereka anggap melakukan kezaliman seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Othman dan lain-lain,” katanya.
Khatib hari ini turut menghuraikan ajaran Syiah yang menyeleweng seperti kahwin mutaah (kontrak), meratapi kematian Saidina Hussein pada 10 Muharram serta menuduh isteri Rasulullah sebagai menderhaka.
Katanya, penganut Syiah masih beranggapan bahawa kahwin mutaah itu adalah harus sedangkan ia sudah lama diharamkan Islam.
“Pada amalan mutaah, akad, tempoh dan mahar golongan Syiah ditetapkan melalui tempoh yang diredhai kedua-duanya, sama ada sebulan, setahun atau sehari.
“Nikah mutaah juga tidak ditentukan bilangan wanita sehingga boleh dilakukan sampai seribu orang. Mereka menganggap perempuan itu adalah seperti barangan sewaan,” katanya.
Mengulas mengenai meratapi kematian cucu Rasulullah, Saidina Ali, Jais berkata, penganut Syiah sanggup mencederakan diri sendiri pada 10 Muharram.
“Orang-orang Syiah akan mengadakan upacara memukul dada dan menyeksa tubuh badan mereka sempena 10 Muharram bertujuan menangisi kematian Saidina Husain.
“Mereka akan memukul dengan rantai besi ke atas bahu, mengetuk kepala dengan pedang, menyeksa badan mereka dan berbagai lagi.
Mereka mengadakan upacara memperingati ini sehinggakan perbuatan itu menggerunkan dan akan memudaratkan diri sendiri,” katanya.
Jais berkata penganut Syiah juga melaknat isteri Rasulullah dengan mendakwa mereka mengingkari arahan baginda, menyelewengkan Al-Quran serta menghalang baginda dari menjalankan kefardhuan.
Katanya, golongan tersebut juga menolak hadis yang diriwayatkan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar serta menganggap Al-Quran pada hari ini tidak lengkap.
“Oleh itu, kita wajib menghindarkan diri daripada terjebak dengan fahaman ini bagi mengelakkan kita turut terpesong dan mengamalkan perkara yang bukan dari syariat Islam.
“Pada Oktober 2013 tahun lalu, fatwa yang lebih jelas berhubung amalan Syiah diwartakan dan akan diambil tindakan sekiranya terdapat perkara yang bertentangan diamalkan berhubung fahaman Syiah di negeri Selangor,” katanya. – 20 Jun, 2014.