Kawasan pencarian baharu bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang 111 hari, hari ini, akan beralih jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi, satu usaha yang akan dimuktamadkan dalam masa setahun.
Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata kawasan carian yang diperhalusi adalah kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai kawasan "arka ketujuh" (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit), yang dipercayai oleh pakar dan pihak berkuasa sebagai tempat berakhirnya penerbangan MH370.
Ia adalah kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal, berkomunikasi kali terakhir dengan satelit Inmarsat sebelum ia hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Operasi pencarian itu akan diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), kata Truss dalam sidang akhbar di Canberra hari ini yang disiarkan secara langsung.
Menjelaskan berhubung bagaimana kawasan carian baharu itu diperoleh, beliau menjelaskan para pakar telah menganalisis lebih lanjut data komunikasi satelit - maklumat yang pada mulanya tidak berkemampuan untuk mengesan sebuah pesawat - dan melaksanakan pengiraan yang sangat rumit.
"Kawasan keutamaan baharu masih ditumpukan di arka ketujuh di mana pesawat itu berhubung kali terakhir dengan satelit namun kami kini mengalih perhatian kami ke sebuah kawasan yang jauh di selatan di sepanjang arka itu berdasarkan kepada pengiraan ini," katanya.
Truss menjelaskan pada masa ini kajian 'bathymetric' atau pemetaan dasar laut di kawasan pencarian baharu dijalankan oleh kapal Zhu Kezhen dari China dan Fugro Equator yang diikat kontrak oleh Australia.
Operasi bermula "satu atau dua minggu lalu", katanya sambil memberitahu ia akan siap dalam tempoh tiga bulan.
"Pencarian secara komprehensif di dasar laut akan bermula Ogos selepas kajian bathymetric selesai, dan ia dijangka selesai dalam masa 12 bulan," kata Truss.
Beliau berkata kedalaman kawasan carian baharu itu adalah sekitar tiga hingga lima kilometer.
Sementara itu, ketua pesuruhjaya ATSB Martin Dolan menyatakan bahawa MH370 mungkin "diterbangkan secara autopilot" sebelum pesawat itu kehabisan bahan bakar dan laluan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Dolan berkata ATSB juga akan menggunakan khidmat kepakaran pertubuhan bagi menjalankan pencarian di dasar laut.
Beliau berkata antara peralatan yang diperlukan bagi misi itu ialah "towed sonar", kenderaan autonomus dasar laut, yang dipasang dengan sonar dan juga peralatan imejan optik dengan resolusi yang sesuai untuk mengenal pasti pesawat atau kawasan serpihan.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di Selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika.
Pada 29 Mei, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) menolak kawasan sekitar isyarat akustik dikesan di Selatan Lautan Hindi pada awal April sebagai tempat berakhirnya MH370. – Bernama, 26 Jun, 2014.