- View PhotoTunang Shah Jaszle rela undur diri
23 Apr – Selepas aktor Shah Jaszle mengesahkan dia kini mempunyai kekasih baru yang dikenali sebagai Hanis Husna, tunang kepada aktor ini nekad membuat keputusan untuk mengundur diri.
Menerusi laporan mStar, Redzwani Puteri menjelaskan dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan Shah dan perasaannya juga telah pudar selepas aktor itu memuat naik gambarnya bersama kekasih baru menerusi laman Instagram.
"Mereka (Shah dan Hanis) mengaku mereka adalah sepasang kekasih. Maka tiada lagi kewujudan saya," ujarnya.
Enggan mengulas lanjut tentang perkara yang berlaku termasuk statusnya dengan Shah, Redzwani turut mendoakan agar aktor itu bahagia dengan wanita berkenaan.
"Tentang apa yang telah berlaku, tiada apa yang saya boleh katakan. Mereka pun telah membuat kenyataan masing-masing. Jadi tak perlulah saya cakap panjang lebar. Semoga mereka bahagia dan berjaya dalam karier masing-masing.
"Saya di sini baik-baik sahaja, Alhamdulillah," katanya lagi yang turut memohon maaf atas kelewatan mengulas tentang perkara ini.
Sebelum ini, gadis yang bernama Hanis telah pun menjelaskan yang dirinya bukanlah seorang perampas seperti yang digembar-gemburkan kerana Shah telah pun memutuskan pertunangannya dengan Redzwani sebelum menjalinkan hubungan dengannya.
Shah pula tidak dapat dihubungi untuk memberi kenyataan kerana sedang menjalani penggambaran di Australia.
Sementara itu ibu kepada aktor berusia 26 tahun ini yang hanya ingin dikenali sebagai Zaleha meluahkan perasaan sedih dengan kejadian ini dan menganggap anaknya dan Redzwani tiada jodoh.
Dia turut memberitahu pertunangan mereka telah berakhir secara rasmi pada akhir tahun lalu apabila keluarga Redzwani memulangkan cincin pertunangan, tetapi Shah dan Redzwani masih berhubung seperti biasa.
Zaleha turut enggan mengulas lebih lanjut mengenai kontroversi ini dan berharap pihak media menunggu Shah pulang ke Malaysia untuk memberi kenyataannya berhubung perkara ini.