- View PhotoSelebriti wanita bergelar pendakwah
29 Apr – Menginjak pada tahun 2014, kini semakin ramai selebriti wanita berhijrah dengan berhijab dan menutup aurat dengan sempurna.
Ini merupakan satu perkembangan yang baik di dalam industri hiburan tanah air kerana semakin ramai yang mula mengorak langkah mendekatkan diri kepada penciptaNya.
Walaupun begitu, mereka masih kekal merwarnai industri seni tanah air dengan kelebihan masing-masing sebagai pelakon, pengacara dan model bertudung.
Mereka juga turut bergelar pendakwah muda yang memberi nasihat dan ceramah motivasi terutamanya kepada golongan muda.
Mari kita lihat siapakan gerangan selebriti yang dimaksudkan itu.
WARDINA SAFIYYAH
Wanita kental bernama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot ini dilahirkan pada 5 Jun 1979 di Kuala Lumpur dan pernah mewarnai industri hiburan sebagai pengacara televisyen, model dan juga pelakon.
Selepas popular dengan siri drama "Spanar Jaya", Wardina membuat kejutan apabila mula berhijab pada tahun 2000 selepas pulang dari mengerjakan umrah dan mula menjadi seorang muslimah sejati.
Kini kehidupannya bahagia di samping suami bergelar arkitek, Ikhwan Johari dan tiga orang anaknya, Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi.
Lebih menumpukan masanya kepada keluarga, Wardina dilihat tetap aktif menyampaikan mesej dakwah di serata dunia terutamanya pada para pelajar dan golongan muda disamping menjadi penulis buku ilmiah terlaris iaitu "Mama Saya Lapar" dan "Siapa Alien?".
ABBY ABADI
Pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan ini dahulunya popular dikalangan peminat drama polis "Gerak Khas" sehingga digelar sebagai Inspektor Haliza.
Bermula kerjayanya sebagai anggota kumpulan Elite, Abby terus mengorak langkah sebagai pelakon dan terus menyinar di persada seni tanah air, berkahwin dengan aktor Norman Hakim dan dikurniakan tiga orang anak.
Setelah bercerai dengan Norman Hakim, Abby mula berhijrah dan melibatkan diri dalam bidang politik serta kerap membuat kemunculan khas bagi mengadakan kempen dan berceramah ketika musim pilihan raya.
Kini dirinya bahagia disamping suami tercinta, Muhammad Noor Farhan yang dinikahinya tahun lepas dan sibuk menumpukan diri dalam bidang perniagaaan dengan membuka butik pakaian muslimah serta giat dalam memberi nasihat dan kata-kata hikmah dalam laman Instagramnya.
DIANA AMIR
Pelakon yang pernah membintangi filem "Aku Masih Dara" ini dilihat semakin bahagia dengan kehidupannya sebagai seorang isteri kepada bekas pensyarah UiTM Merbok, Mohd Habibbullah A Rahman.
Selain itu, Diana yang dahulunya gemar berimej seksi mula berhijab pada tahun 2011 setelah beberapa kali bermimpi mengenai hari kiamat dan bertekad untuk berhijrah walaupun mengakui ketika itu dirnya masih cetek dalam ilmu agama.
Mula mendekatkan diri dengan majlis ilmu dan usrah, Diana kini dilihat rajin mempelajari dan mendalami ilmu agama demi kehidupan yang lebih diberkati di dunia mahu pun di akhirat.
Selain kerap memberi ceramah dalam majlis ilmu, kini Diana melangkah yakin dalam bidang perniagaan dengan menyediakan variasi pilihan buat muslimah di luar sana dengan mengetengahkan koleksi dan busana jenamanya, Diana Amir Exclusive.
HELIZA HELMI
Bekas pelajar Akademi Fantasi Musim ke-5 ini mula dikenali dengan nyanyiannya yang merdu sehingga pernah dilabel vokalnya yang persis penyanyi terkenal, Dato' Siti Nurhaliza.
Setelah muncul dengan beberapa buah lagu dan berduet dengan artis-artis ternama, kelihatan gadis muda ini semakin lama semakin cuba berhijrah menjadi muslimah yang disegani dengan memperlahankan aktiviti seni nyanyiannya.
Pemilik ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) ini sangat petah berkata-kata terutama ketika menyampaikan ceramah dan kuliah di universiti mahupun organisasi swasta dan turut menjadi pengacara kepada rancangan "SIS" siaran TV9 dan "Man Jadda Wajada" (TV Al-Hijrah).
Pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan komposer terkenal, Hafiz Hamidun, Heliza terus mengorak langkah dengan menubuhkan syarikatnya sendiri, Heliza Helmi Production dan membuka butik onlinenya sendiri, Falah Abiyana.
FARAH ASYIKIN
Siapa sangka penyanyi yang memulakan kerjayanya dengan menyertai rancangan realiti TV, "Malaysian Idol" dan "One In A Million" ini akhirnya memilih haluan hidupnya untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Pernah popular dengan lagu hitsnya, "Dari Sini Ke Bintang-Bintang" dan "Get Happy", Farah pernah memberitahu dia nekad berubah kerana kesal dengan kehidupan dunia yang membuatkannya leka dan alpa.
Mula berhenti menyanyi dan mendekatkan diri dengan rakan-rakan artis yang sudah pun berhijrah, Farah bersyukur kerana dirinya mendapat sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak.
Pada tahun lalu, Farah telah pun selamat berkahwin dengan Zahier Stanley yang dikenalinya menerusi laman Twitter dan tetap meneruskan aktivitinya sebagai seorang pendakwah.
CATRIONA ROSS
Pelakon ini pernah menjadi penulis skrip drama televisyen dan buku bersama bapa saudaranya yang juga seorang penyanyi 90-an, Razi Rahman.
Pelakon kacukan Melayu Scottish ini mula mengenakan hijab apabila menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di sebuah pusat beli-belah pada 14 Julai 2010.
Ketika mencuba sehelai tudung dan melihat wajahnya di cermin, hatinya berasa hiba, pilu dan syahdu. Sejurus pulang ke rumah, dia menangis dan akhirnya dirinya sedar yang itu sebenarnya adalah petunjuk daripada Allah SWT.
Pelakon manis ini turut berkongsi cerita gembiranya diberi hidayah oleh Allah kepada umum terutamanya golongan muda dan pada masa yang sama turut berdakwah walaupun dirinya hanyalah insan biasa yang mula berjinak dalam ilmu agama.