Translate

01 April 2014

Selebriti jadi usahawan


29 Mac - Mereka kacak dan jelita, dan berbakat dalam bidang nyanyian atau lakonan. Tapi tidak semestinya artis-artis di Malaysia hanya pandai dalam bidang seni dan bergantung harap pada keuntungan dari penjualan album dan tayangan filem dan drama.
Ada di antara para artis Malaysia yang juga berjaya dalam bidang perniagaan. Antaranya termasuk:

Neelofa
Bintang jelita yang juga pengacara "Nona" ini bukan sekadar menyukai kasut, dia juga memiliki bisnes dalam talian untuk menjual dan mempromosi kasut-kasut jenama "Lofa" miliknya.
Berbisnes melalui neelofaheels.blogspot.com, Neelofa juga telah mendaftarkan syarikat dengan nama Neelofa Sdn Bhd di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan mendapat geran RM200,000 untuk mengusahakan perniagaannya.
Fasha Sandha
Seorang artis pasti banyak menghabiskan masa memilih pakaian, bersolek dan menggayakan rambut mereka, jadi antara ketiga-tiganya, Fasha Sandha memilih salun penjagaan rambut sebagai bisnes utamanya.
Pemilik Chinta Hair Salon & Beauty ini memulakan operasinya pada Februari 2011 dan menawarkan segala macam perkhidmatan termasuk memotong, mewarna, meniup kering rambut selain khidmat urutan, bengkel solekan dan rawatan wajah.
Dynas
Melihatkan kesukaran wanita hamil untuk mendapatkan pakaian yang cukup selesa dan bergaya untuk membolehkan mereka tampil cantik sekalipun dalam keadaan mengandung, menyebabkan model dan pelakon Dynas Mokhtar membuat keputusan untuk memulakan perniagaannya sendiri dalam bidang tersebut.
Maka tercetuslah ilham butik Dynas Nursing Attire, atau DNA yang berlokasikan The Curve, Mutiara Damansara. Ia turut diilhamkan dari ibu-ibu moden dan hasratnya sendiri untuk tampil elegan sekalipun hamil dengan anaknya Khyra Khalisa ketika itu.
Fazura
Jika Dynas memiliki butik untuk ibu-ibu moden, DNA, Fazura pula memiliki butik untuk wanita elegan, dengan pelancaran House of Doll miliknya.
Pakaian-pakaian yang dijual juga sesetengahnya direka sendiri oleh Fazura dan merupakan kolaborasi dengan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.
Jelas Fazura, dia mendapat ilham untuk membuka butik sendiri apabila mendapati ramai peminat yang bertanyakan di mana dia membeli pakaian-pakaian yang dipakainya ke majlis-majlis sosialnya. House of Dolls menjadi tempat untuk Fazura berkongsi minat dan selera fesyennya dengan para peminat.
Dato' Siti Nurhaliza
Ketika artis lain bermula dengan perlahan-lahan, Dato' Siti Nurhaliza terus maju ke depan dengan produk kosmetik dan penjagaan kulitnya sendiri yang diberi nama SimplySiti. Antara produk yang telah dikeluarkan Simplysiti termasuk SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution.
Produk-produk SimplySiti juga boleh didapati di lebih 200 rangkaian farmasi Watson dan pasar raya Jusco seluruh Malaysia.
Ezany
Jika artis wanita memilih butik, kosmetik dan penggayaan rambut sebagai fokus perniagaan mereka, pelakon Ezany Nizariff pula memilih produk belacan yang secara mata kasarnya nampak tidak sesuai dengan personalitinya dan gelarannya sebagai bekas Hero Remaja.
Namun begitu, berkat keseriusannya dalam berniaga melalui syarikatnya, EMP Sdn. Bhd., membolehkan Belacan Ezany menjadi antara produk yang popular dan diterima ramai. Dari bisnes kecil-kecilan, produk-produk kicap dan belacannya kini ditempatkan di pasaraya terkemuka seperti Giant, Mydin dan Jaya Jusco. Malah kini dia memiliki kilang di Lestary Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
Selain belacan dan kicap, syarikat Ezany turut mengedar kunyit serbu, rempah ikan, rempah kurma dan pelbagai lagi perencah masakan. Malah, dia ke bidang lain pula apabila mengeluarkan jenama pakaiannya sendiri, Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco.
Dato Wan Mohammad Sani Salleh
Bekas model dan anggota kumpulan Impression yang turut dianggotai Eizlan Yusoff dan Norman Hakim ini kini sudah menjadi bos besar kepada syarikat pengangkutan SANI United Sdn Bhd (SUSB), pemilik kepada bas-bas persiaran SANI Express berwarna merah yang menjadi pilihan utama para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam untuk perjalanan jarak jauh.
Bermula pada tahun 2003, Dato Sani menghadapi kesukaran pada mulanya apabila dua rakan kongsinya menarik diri, dan mengambil risiko dengan menubuhkan sebuah perniagaan dengan hanya seorang pekerja.
Beberapa tahun kemudian, dia kini pemilik sebuah perniagaan besar dengan lebih 150 pekerja dan bangunan 3 tingkat Wisma Dato' Sani yang terletak di Klang Sentral, 250 buah bas dua tingkat dengan teknologi keselamatan bernilai 40 juta dan kelancaran operasi yang diawasi CCTV.
KRU
Tiga orang adik-beradik Norman, Yusry dan Edry bermula dengan modal sebanyak RM2000 untuk menubuhkan KRU Studios dan kini menjadi antara artis yang paling berjaya di Malaysia dengan pelbagai jenis perniagaan dan cawangan di luar negara.
Dengan penubuhan bangunan syarikat mereka di Cyberjaya yang bernilai RM4.8 juta, KRU Capital Sdn Bhd kini memilki enam anak syarikat iaitu KRU Music Group, KRU Publishing, KRU Communications, KRU Films, KRU Media dan KRU Matrix.
KRU turut mengembangkan sayap mereka ke Amerika Syarikat dan Singapura dengan penubuhan KRU America Inc. dan KRU Singapura Pte Lt, dan menghasilkan beberapa projek berunsur antarabangsa termasuk "Vikingdom" dan "Hikayat Merong Mahawangsa".

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED