Translate

12 September 2024

Pengarah, Ketua Cawangan negeri dikenakan tindakan jika biar kaunter tidak dibuka - KP JPJ



Pengarah, Ketua Cawangan negeri dikenakan tindakan jika biar kaunter tidak dibuka - KP JPJ

Bernama

12/09/2024

Datuk Aedy Fadly berkata, perkhidmatan kaunter yang efisien amat ditekankan memandangkan fokus utama jabatan dadalah untuk menambah baik sistem penyampaian. - Bernama

SHAH ALAM: Pengarah dan Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berdepan tindakan tegas sekiranya membiarkan kaunter perkhidmatan tidak dibuka sebagaimana sepatutnya atau tidak berada di bawah pengawasan sewajarnya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata perkhidmatan kaunter yang efisien amat ditekankan memandangkan fokus utama jabatan di bawah kendaliannya adalah untuk menambah baik sistem penyampaian kepada orang ramai.

"Fokus kita ketika ini adalah perkhidmatan di kaunter dan perkara ini turut ditegaskan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mahu setiap kaunter seharusnya tidak dibiarkan tanpa pengawasan atau daripada lima yang ada, hanya dua kaunter dibuka.







"Jadi, mana-mana Pengarah Negeri dan KC tidak menjalankan tugas dengan baik dan kaunter tidak dibuka, mereka akan diambil tindakan," katanya ketika berucap pada majlis Amanat Ketua Pengarah Pengangkutan sempena lawatan kerja ke JPJ Selangor di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.

Aedy Fadly berkata sebagai jabatan kerajaan yang sudah berusia 78 tahun, anggota dan pegawai JPJ sepatutnya sudah matang dan memahami kehendak serta keperluan orang awam apabila berurusan di kaunter.

Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan kaunter berada di tahap terbaik, beliau bersama pengarah dari Ibu Pejabat di Putrajaya akan melakukan lawatan mengejut melalui penyamaran bagi melihat sendiri penugasan kakitangan di semua cawangan JPJ seluruh negara.

"Lepas ini, mungkin saya akan turun pakai topi, berkaca mata dan berseluar jean lawat (JPJ setiap negeri). Saya juga mungkin hantar pengarah-pengarah di Ibu Pejabat sebab kalau saya kerap turun mungkin orang kenal," katanya.

Aedy Fadly yang dilantik mengetuai JPJ pada 23 Julai lepas mengakui berpuas hati dengan tindakan segera oleh semua JPJ negeri dalam melaksanakan inisiatif dan penambahbaikan diperkenalkan olehnya serta pengurusan tertinggi lain.

Beliau berkata antara inisiatif segera dilakukan dan mendapat respons baik JPJ negeri adalah menyediakan pegawai pemudah cara dikenali JPJ Assist berperanan membantu dan menyantuni pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di jabatan tersebut.

"Kita juga akan memperhebatkan hebahan mengenai 38 perkhidmatan atau urus niaga dalam talian disediakan JPJ yang ketika ini kurang disedari umum, yang kita yakin boleh mengurangkan bilangan orang awam datang ke kaunter sekali gus mengurangkan kesesakan pelanggan serta masa menunggu," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED