Translate

27 September 2024

AirAsia tidak putus asa dapatkan lesen untuk beroperasi di Singapura



AirAsia tidak putus asa dapatkan lesen untuk beroperasi di Singapura

Bernama

27/09/2024


Tony Fernandes (kanan) bercakap pada sesi sidang media Majlis Perasmian Hangar Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pengubahsuaian (MRO) Asia Digital Engineering. Turut sama Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun (kiri). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: AirAsia tidak akan berputus asa untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi di Singapura, walaupun telah ditolak sebanyak tiga kali, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

"Jangan sekat saya di Singapura," katanya.

"Tiga kali kami memohon lesen penerbangan, tiga kali kami ditolak. Kami mempunyai syarikat penerbangan di Kemboja, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

"Kita boleh mendapatkan (lesen) di negara ASEAN yang lain, tetapi Singapura menghalang kita sepanjang masa kerana mereka melindungi syarikat penerbangan mereka," katanya selepas perasmian besar-besaran hangar 14 barisan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih Kejuruteraan Digital Asia (ADE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Mengulas mengenai hantaran beliau di LinkedIn tentang SIA Engineering Company (SIAEC), Tony berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk syarikat itu datang ke Malaysia.

SIAEC baru-baru ini menandatangani perjanjian 15 tahun dengan anak syarikat Khazanah Nasional, Impeccable Vintage Properties untuk menyewa dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

"Yang pentingnya ialah SIAEC elok sahaja di sini, kami menyokongnya... ia baik untuk negara, bagus untuk pelaburan dan bagus untuk pekerja yang ingin keluar (daripada syarikat lama).

"Jika mereka dapat kerja yang lebih baik, mereka harus pergi. Ini adalah pasaran bebas.

"Masalah saya kenapa Singapura tidak beri saya lesen? Itulah masalah saya," katanya. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED