Translate

24 September 2024

SSM siasat GISB, pendaftaran syarikat boleh dibatal jika langgar peraturan



SSM siasat GISB, pendaftaran syarikat boleh dibatal jika langgar peraturan

Abd Razak Mohd Ali

24/09/2024



Datuk Armizan Mohd Ali, berkata SSM sedang menyemak pendaftaran syarikat itu termasuk pematuhan penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan. - Gambar fail

IPOH: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menjalankan siasatan terhadap syarikat Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dan anak syarikatnya.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang menyiasat Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dan anak syarikatnya, termasuk memeriksa pematuhan pendaftaran dan laporan kewangan mereka.

SSM bekerjasama dengan PDRM dalam siasatan ini dan boleh membatalkan pendaftaran syarikat jika didapati melanggar kepentingan awam atau peraturan semasa.

SSM juga sedang berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai promosi produk GISB di media sosial, walaupun belum ada laporan diterima setakat ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata SSM sedang menyemak pendaftaran syarikat itu termasuk pematuhan penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan.

Katanya, pendaftaran syarikat berkenaan boleh dibatalkan jika disabitkan kesalahan melakukan aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan semasa.

Beliau berkata, SSM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis bagi membantu siasatan.

“Pada peringkat ini, siasatan utama itu dilakukan oleh PDRM, dan kita melihat daripada aspek pematuhan kepada undang-undang tadbir urus syarikat.

“Kita bekerjasama rapat dengan PDRM untuk melengkapkan siasatan dan membantu PDRM dalam apa-apa perkara yang terkait dengan akta di bawah bidang kuasa SSM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara SSM Perak di Jalan Basco Kepayang, Ipoh, pada Selasa yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, KPDN juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) dalam siasatan berhubung produk-produk GISB yang dipromosikan di dalam media sosial.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai produk yang dipromosikan itu.

“Sekarang sebenarnya kita sedang bekerjasama dengan MCMC, satu berkenaan dengan promosi dalam talian. Dakwaan mengenai promosi itu bukan bukan hanya (di bawah) akta SSM tetapi juga terkait dengan bidang kuasa bahagian penguat kuasa KPDN,” ujarnya.

Mengenai laporan terdapat premis milik GISB yang menukar papan tanda untuk melindungi aktiviti mereka, Armizan berkata, perkara itu berada dalam pengetahuan pihaknya.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, SSM akan memperluaskan jangkauan perkhidmatan ke setiap pelusuk negara bagi meningkatkan lagi pelaksanaan fungsi dan peranannya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, pejabat dan cawangan SSM telah dibuka dan beroperasi di setiap negeri di seluruh negara, dengan beberapa negeri mempunyai lebih daripada satu cawangan.

Menurutnya, dengan pendekatan proaktif, SSM kini memiliki bangunan sendiri di beberapa lokasi strategik, termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur iaitu Menara SSM@Sentral, serta di Melaka, Miri, Sarawak dan terkini di Perak.

Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawal selia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran entiti-entiti perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.

“Sepanjang lebih dua dekad penubuhannya, SSM sentiasa berusaha melaksanakan mandatnya yang termaktub dalam undang-undang negara,” katanya.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED