Translate

23 September 2024

Alif Teega, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah, salah guna wang infak lebih RM1.52 juta



Alif Teega, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah, salah guna wang infak lebih RM1.52 juta

Astro Awani

23/09/2024



Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah tiba di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - Gambar/ Bernama

SHAH ALAM: Pempengaruh media sosial Mohd Hazalif Mohd Hazani dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan salah guna wang derma berjumlah lebih RM1.52 juta sejak Mei 2021 hingga Julai lepas.

Pasangan yang masing-masing berusia 30 dan 26 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

"Faham pertuduhan, mohon dibicarakan," kata Mohd Hazalif yang turut dikenali sebagai Alif Teega, serta Aisyah Hijanah ketika diminta membuat pengakuan secara berasingan di hadapan hakim.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah mencapai niat bersama untuk secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta, yang mana wang tersebut antaranya bagi tujuan infak kurma, infak al-Quran, infak pek makanan bagi fakir miskin di Makkah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu serta set pakaian raya untuk anak yatim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank dan CIMB Bank di Seksyen 8 dan 9 Bandar Baru Bangi antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan.

"Memandangkan tertuduh pertama telah menyerahkan pasport kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, maka tertuduh kedua iaitu Aisyah Hijanah perlu menyerahkan dokumen perjalanan sama kepada mahkamah di sini, hari ini.

"Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi," kata Hakim yang kemudian menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan.

Pada Jumaat lepas, Mohd Hazalif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan penyalahgunaan wang berjumlah RM63,605.48 yang diperoleh daripada kutipan dua program infak pada April dan Jun tahun ini.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED