Translate

23 September 2024

Op Global: 'Ada ahli GISB punyai lebih 30 anak, nama zuriat sendiri pun mungkin tak tahu' - KPN



Op Global: 'Ada ahli GISB punyai lebih 30 anak, nama zuriat sendiri pun mungkin tak tahu' - KPN

Astro Awani

23/09/2024



Antara kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Terdapat ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dikenal pasti mempunyai lebih 30 anak namun dipercayai tidak mengenali nama sebahagian besar zuriat sendiri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata kebanyakan anak terbabit diletakkan di pusat jagaan kendalian GISB dan dianggap banyak pihak sebagai anak yatim.

"Ada ahli yang berkahwin empat dan mempunyai sebanyak 34 anak, namun hanya dua orang yang tinggal dengan mereka. Kalau kita tanya nama 32 nama anak yang lain pun mungkin dia tidak tahu," katanya dalam sidang media khas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata polis menyiasat kemungkinan ibu bapa kepada 572 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global belum menuntut anak-anak itu kerana tidak mahu penipuan yang mengatakan mereka anak yatim, terbongkar.

Razarudin berkata, kesemua kanak-kanak yang diselamatkan itu ketika ini ditempatkan di 11 rumah selamat disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, siasatan boleh dilakukan mengikut Akta 420 Kanun Keseksaan kerana ahli GISB mendakwa anak-anak itu ialah anak yatim dan menerima bantuan bagi pihak mereka.

"Mereka tak akan cakap ini anak mereka, mereka akan dakwa ini anak yatim kerana ada antara mereka berbin dan berbinti Abdullah. Ini mungkin satu penipuan untuk mendapatkan sumbangan dan sumbangan ini digunakan dengan cara lain," katanya.

Razarudin berkata ada juga dalam kalangan kanak-kanak itu diajar untuk mengatakan tidak mengenali ibu bapa kandung mereka.

Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, sebanyak 153 akaun berkaitan GISB telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94.

Razarudin berkata selain itu, sebanyak 38 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita.

Tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

"Sebanyak 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600 juga dirampas," katanya.

Pada masa yang sama, Razarudin turut menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mengatakan polis mengabaikan haiwan yang dirampas, sebaliknya Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama bagi memeriksa serta menjaga haiwan-haiwan berkenaan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED