Translate

27 September 2024

PRK Mahkota: Pengundi tunai tanggungjawab esok



PRK Mahkota: Pengundi tunai tanggungjawab esok

Bernama

27/09/2024



Pengundi di DUN Mahkota mempunyai pilihan sama ada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) atau wakil PN, Mohamad Haizan Jaafar sebagai wakil rakyat baharu mereka esok. - Gambar Bernama

KLUANG: Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok selepas tempoh 14 hari berkempen tamat tengah malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat melibatkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang.

Pengundi mempunyai pilihan sama ada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau wakil Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan kedua-duanya juga akan menunaikan kewajipan pada PRK itu.

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

Selasa lepas, pengundian awal PRK DUN Mahkota diadakan melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis, selain SPR turut mengeluarkan 607 undi pos pada 15 Sept.

Selesai proses pengundian petang esok, proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Bagi melancarkan proses pengundian, sebanyak 1,126 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu, selain SPR juga menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang pagi esok adalah baik, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celcius.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.

PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED