Translate

29 September 2024

Nenek 80 tahun bersaing rebut mahkota Miss Universe Korea



Nenek 80 tahun bersaing rebut mahkota Miss Universe Korea

Agensi

29/09/2024



Pada Isnin, Choi akan bersaing bagi merebut mahkota, sekali gus mewakili Korea Selatan di final Miss Universe di Mexico. - Gambar Instagram

LAHIR kira-kira sedekad sebelum Miss Universe diadakan buat kali pertama pada 1952, Choi Soon-hwa berpotensi mencipta sejarah sebagai peserta paling tua dalam pertandingan itu selepas berjaya menjadi finalis dalam Miss Universe Korea.

Pada Isnin, dia dan 31 peserta lain akan bersaing bagi merebut mahkota, sekali gus mewakili Korea Selatan di final Miss Universe di Mexico, November depan.

Hal itu adalah susulan penarikan semula had umur oleh Miss Universe Organization, selain turut mengemas kini kriteria kelayakan untuk membolehkan wanita hamil, ibu, dan wanita yang telah atau pernah berkahwin, menyertainya.

Choi adalah peserta warga emas ketiga yang membuat percubaan, dengan dua peserta terawal ialah Lorraine Peters (Miss Universe Kanada) yang berusia 58 tahun dan Alejandra Marisa Rodríguez (Miss Universe Argentina) yang berusia 60 tahun, namun kedua-duanya tidak berjaya mara untuk mewakili negara masing-masing.

"Sekarang sekatan umur telah ditarik balik, saya beritahu diri saya, saya harus mencuba.

“Sama ada saya berjaya atau tidak, itu soal lain kerana saya berazam untuk mencuba," katanya kepada CNN.

Sekiranya dia merangkul gelaran itu dan mara ke Mexico, Choi akan menjadi peserta paling senior; lebih dua kali ganda daripada finalis tertua setakat ini yang berusia 40 tahun, Beatrice Njoya dari Malta.

Kali pertama menyertai pertandingan ratu cantik, Choi bagaimanapun tidak asing lagi dengan dunia fesyen Korea.

Dia menyertai bidang peragaan selepas bersara dari pekerjaan sebagai caretaker di hospital, bagi membantu membayar hutang.

Choi mengikuti kelas mingguan di akademi peragaan, selain sering berlatih berjalan (catwalk) di hospital semasa masih bertugas.

Dia menandatangani kontrak dengan sebuah agensi pada 2017 sebelum membuat debut pada Minggu Fesyen Seoul, ketika berusia 74 tahun. Sejak itu, dia sering muncul dalam majalah fesyen edisi Korea termasuk Harper's Bazaar dan Elle.

Choi percaya pengalaman peragaannya akan berguna dalam pertandingan.

Nenek kepada tiga anak itu juga mengakui teruja dengan prospek mewakili Korea Selatan ke luar negara.

“Saya selalu mengimpikan untuk naik ke pentas di luar negara, jadi minda saya sudah bersedia. Jepun adalah satu-satunya negara luar yang pernah saya kunjungi, dan saya percaya (penganjur pertandingan) akan mengajar pemenang segala-galanya, jadi saya bersedia," katanya yang menerima sokongan penuh anak-anak dan cucu-cucunya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED