Istiadat Pertabalan Raja Charles III: Kontinjen ATM sertai perbarisan
ASTRO AWANI
Mei 6, 2023 16:02 MYT
Kontinjen ATM yang diwakili Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dilihat menyertai perbarisan tersebut sekitar jam 8 pagi waktu tempatan - Foto fail/ DagangNews
KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini antara yang diberi penghormatan untuk menyertai pasukan negara Komanwel dalam perbarisan sempena Istiadat Pertabalan Raja Britain, Raja Charles III di London, United Kingdom (UK).
Kontinjen ATM yang diwakili Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) menyertai perbarisan tersebut sekitar jam 8 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) menjelang Istiadat Pertabalan yang dijadual pada jam 11 pagi.
Kontinjen 1 RAMD berlepas pada 27 April lalu untuk menjalani latihan dan raptai melibatkan seramai dua orang pegawai dan 10 anggota lain-lain pangkat.
Diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri, kontinjen 1 RAMD memulakan latihan pada 28 April hingga 4 Mei, dan dijadual berlepas balik ke Malaysia pada 7 Mei ini.
Sementara itu, 1 RAMD dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan Istiadat Pertabalan dijangka menyaksikan gabungan menarik antara adat tradisi yang berusia hampir 1,000 tahun lalu dengan upacara moden yang menggambarkan pelbagai kepercayaan dan budaya di Britain.
Kontinjen 1 RAMD berlepas pada 27 April lalu untuk menjalani latihan dan raptai - Foto Facebook Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja
"Pegawai Memerintah mengucapkan selamat maju jaya kepada Kontinjen 1 RAMD yang akan terlibat dalam istiadat ini yang dijadual disertai juga ketua negara yang lain termasuk Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan orang kenamaan," demikian menurut kenyataan itu.
Laungan "God Save the King" akan kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Charles oleh Welby.
Ia adalah pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.
Istiadat itu akan menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selain selebriti.