KKD pantau, sekat video sebar ajaran sesat di media sosial
Bernama
Mei 27, 2023
KKD pantau, sekat video sebar ajaran sesat di media sosial
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memantau serta menyekat penyebaran sebarang video berunsur ajaran sesat termasuk dari negara jiran yang tular di media sosial.
Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta majlis-majlis agama negeri dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan bahan seperti itu.
"Kita akan pastikan penularan ini bukan hanya disekat tetapi mereka yang terlibat dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan. Jadi, itu sebab kenapa kita sentiasa beri peringatan untuk elakkan daripada menyebar bahan fitnah, melibatkan 3R (raja, agama dan kaum) termasuklah ajaran sesat.
"Maka kita akan terus memantau, bila kita terima permohonan ataupun permintaan untuk ambil tindakan MCMC akan segera berhubung dengan penyedia perkhidmatan platform tersebut," katanya selepas merasmikan pelancaran Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Eco Park@Pantai Dalam di sini malam ini.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan satu majlis agama berunsurkan ajaran sesat di sebuah pesantren di negara jiran yang menyanjung Israel dan didakwa turut disertai ramai rakyat Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warganet.
Fahmi berkata selain isu ajaran sesat, KKD akan mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat berunsur penipuan, scam dan penggunaan platform itu untuk menjual bahan terlarang termasuk dadah.
Menyentuh program malam ini, beliau berkata pelancaran IWK Eco Park@Pantai Dalam dilihat mampu memberi manfaat dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
"Ruang ini sesuai untuk pelbagai jenis aktiviti dan terdapat juga tapak jualan bagi kenderaan saji disediakan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada IWK atas segala inisiatif yang telah dan akan dijalankan di IWK Eco Park@Pantai Dalam," katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam serta Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dr K. Ching Thoo.
-- BERNAMA