Empat lelaki provokasi anggota polis diarah buat kerja sosial
Harian Metro
25 Januari 2021
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman kerja sosial selama dua bulan terhadap empat lelaki yang mengaku salah atas dakwaan melakukan provokasi terhadap anggota polis di Tanjung Tokong pada 17 Januari lalu.
Majistret R Manomani mengarahkan hukuman itu dijalankan tiga jam sehari terhadap tertuduh iaitu Shahrizal Anuar, 38, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, Mohd Safwan Akbar, 29, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24.
Manomani kemudian bertanya sama ada tertuduh bersetuju melakukan kerja sosial seperti mencuci dan mengecat masjid, tanah perkuburan serta rumah kebajikan di kawasan kejiranan mereka.
Kesemua tertuduh bersetuju dengan hukuman berkenaan sebelum mahkamah memaklumkan perkara itu akan ditentukan oleh pegawai parol.