Astro Awani
KUALA LUMPUR: Adat dalam sesebuah perhubungan, pasti ada pasang dan surutnya.
Demikian juga dengan hubungan pasangan sensasi, Neelofa dan PU Riz yang sebelum ini dilaporkan berhadapan dengan masalah.
Selepas melalui proses pemulihan, usahawan dan selebriti tersohor negara itu mengesahkan, hubungannya dengan pendakwah bebas itu sangat baik dan positif.
Dalam masa sama, Neelofa menegaskan, kontroversi mengenai pergolakan hubungan mereka seperti yang tercetus baru-baru ini hanyalah salah faham.
"Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik sahaja dan positif. Apa yang terjadi baru-baru ini, hanyalah salah faham.
"Cerita yang tidak berasas hanya memburukkan keadaan. Sejak insiden itu, hubungan kami okay sahaja," katanya dalam sidang media secara virtual sempena pelancaran aplikasi gaya hidup Islam, The Noor yang dibangunkannya, hari ini.
Bahkan, Neelofa juga memberi bayangan akan mengumumkan tarikh perkahwinan mereka dalam masa terdekat.
"Saya akan kongsi dalam masa terdekat. Dalam keadaan sekarang, di mana angka (jangkitan) COVID-19 pada tahap membimbangkan, banyak kekangan yang terpaksa dihadapi.
"Kami ada menghubungi beberapa pihak untuk bertanyakan kesesuaian mengadakan majlis.
"Namun, banyak yang masih menjadi tanda tanya dan tidak jelas. Jadi, sukar untuk kami kongsi perancangan kami," kata usahawan hijab itu lagi.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan PU Riza atau nama sebenarnya, Haris Ismail, 26, merancang untuk disatukan sebagai suami isteri sekitar Mac ini.
Neelofa yang menerima kehadiran keluarga PU Riz pada 1 November lalu berkata, seperti hubungan orang lain, perhubungannya dengan pendakwa itu juga tidak terlepas daripada melalui cabaran.
"Tipu kalau saya cakap dalam perhubungan, tidak ada pahit manis dan naik turun. Kami juga melalui pengalaman sama.
"Ada masa timbul salah faham yang mengganggu perhubungan. Tetapi kami berjaya tangani cabaran itu dengan baik.
"Kami banyak berbincang dan saling berkomunikasi. Kini semuanya semakin baik dan positif. Dalam hal ini, keluarga turut membantu," katanya.
Aplikasi The Noor yang dibangunkan Neelofa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Noor Luminous Sdn Bhd merupakan hasil perkongsian tiga rakan kongsi yang dilengkapi pelbagai ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan.
Aplikasi The Noor turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa Indonesia.
Terjemahan dalam bahasa Melayu itu dilakukan sendiri oleh Neelofa.
"Niat saya, apabila meninggal dunia, terjemahan yang saya hasilkan itu dapat memberi manfaat kepada semua orang," katanya.
Source: Astro AwaniFOR MORE NEWS GO TO:
https://www.astroawani.com/berita-hiburan/hubungan-neelofa-pu-riz-baik-bakal-umum-tarikh-kahwin-280225